Berita Menarik

Rasuah projek penyelenggaraan babitkan RM300 juta, empat individu direman

PUTRAJAYA: Empat individu termasuk dua pegawai kerajaan direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima suapan bagi kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan cerun jalan raya, melibatkan RM300 juta setahun.

Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia antara 39 hingga 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam selepas hadir memberikan keterangan.

"Dua pegawai terbabit yang berusia 39 tahun maisng-masing bertugas di Negeri Sembilan dan di ibu pejabat di Kuala Lumpur," kata sumber itu di sini, pada Rabu.

Difahamkan, kedua-dua pegawai tersebut telah meminta dan menerima suapan daripada kedua-dua pemilik syarikat terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan di jalan negeri.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes itu katnya disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Sumber : Astro Awani

Hit : 1723