Berita Menarik

Rayu keluarga maafkan perbuatan ‘songlap’ duit

MELAKA: Seorang kakitangan kesihatan merayu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini,  supaya keluarganya dapat memaafkan perbuatannya yang menggunakan wang awam berjumlah hampir RM10,000 demi kepentingan peribadi, empat tahun lalu. 

Tertuduh, Muhammad Nurhafizi Samat, 34, dihadapkan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan atas tiga pertuduhan pilihan, menipu pembekalan tidak wujud bernilai RM9,536. 

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menipu dan memperdaya kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin untuk memperakukan pembayaran pembekalan peralatan tidak wujud bernilai RM9,536 bagi Unit Kawalan Mutu Air (KMAM).

Tindakan itu didakwa dilakukannya di PKD Jasin pada 5 dan 9 November 2018.  Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Turut dihadapkan dalam prosiding sama adalah seorang bekas kakitangan PKD Jasin, Mohd. Zamry Yazid, 47. 

Tertuduh didapati bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi untuk melakukan kesalahan itu dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Muhammad Nurhafizi yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan perlu menanggung dua anak yang masih kecil berusia tiga bulan dan lima tahun, selain ibu bapanya. 

Tambahnya, dia juga telah menyesal dan berharap ahli keluarganya serta masyarakat dapat memaafkan perbuatannya itu. 

Sementara itu, Peguam Mohd. Zulfiqri Zakaria yang mewakili Mohd. Zamry merayu hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu dan adik. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwanshah Abdul Samat memohon hukuman setimpal diberikan memandangkan tertuduh telah menggunakan wang awam untuk kepentingan peribadi. 

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh atau penjara 10 bulan jika gagal bayar.  Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. 


Sumber : UTUSAN ONLINE


Hit : 1885