Berita Menarik

Rasuah polis, 2 peniaga didenda RM10,000

Kota Kinabalu: Dua peniaga kedai runcit masing-masing dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, atas kesalahan memberi suapan kepada pegawai polis.

Tertuduh pertama, Zia Ullah Mir Akbar Khan, 31 dan tertuduh kedua, Farman Ali Muhammad, 37, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan alternatif dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Jika gagal bayar, kedua-dua tertuduh berdepan dengan hukuman penjara sebulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-mereka didakwa memberi suapan RM7,000 kepada Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 3 hingga 5 petang pada 20 April 2020.

Wang RM7,000 itu dikatakan sebagai balasan bagi kedua-dua tertuduh mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok tidak bercukai.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun yang sama

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari firma guaman, Ansari & Co.

Sumber : Berita Harian

Hit : 2035