Berita Menarik

SPRM tahan pengurus syarikat, warga Bangladesh dalam dua kes berasingan

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan butiran palsu untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih jambatan di Yong Peng bernilai lebih RM150,000.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru kira-kira pada pukul 5 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek telah mengemukakan kebenaran menyertai tender yang mengandungi butiran palsu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebuah daerah bagi mendapatkan kerja-kerja berkenaan pada April tahun lalu.

Kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM Batu Pahat juga telah menahan seorang lelaki Bangladesh berusia 34 tahun kerana disyaki menyogok pegawai penguat kuasa sebuah PBT berjumlah hampir RM300.

Suspek yang juga bekerja sebagai seorang pembantu kedai runcit di Skudai telah melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak dikenakan kompaun oleh pegawai penguat kuasa terbabit kerana telah menjual arak dan rokok tanpa cukai yang melanggar Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 2.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan untuk kes yang disiasat di bawah Seksyen 17 (b) ASPRM 2009

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk  Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit dan memaklumkan mereka ditahan selama 24 jam sebelum akan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sumber : UTUSAN ONLINE


Hit : 1399