Berita Menarik

SPRM tahan pembantu tadbir hospital universiti awam

Shah Alam: Pembantu tadbir sebuah hospital universiti awam (UA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi membantu siasatan berhubung salah guna kedudukan membabitkan pembekalan kelengkapan hospital yang dianggarkan bernilai lebih RM300,000.

Menurut sumber, suspek perempuan yang berusia 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada 2.50 petang selepas hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dengan terbabit dalam keputusan memilih syarikatnya sendiri bagi kerja pembekalan kelengkapan kakitangan sebuah hospital universiti awam yang dianggarkan berjumlah lebih RM300,000 dari 2017 sehingga 2020.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pagi bagi pertuduhan.

Sumber : Harian Metro

Hit : 2059