Berita Terkini

TM Lancar OACP Tingkat Usaha Memerangi Jenayah Rasuah

Kuala Lumpur, 30 Nov. - Telekom Malaysia (TM) hari ini melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi meningkatkan usaha memerangi jenayah rasuah, selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 untuk mewujudkan negara bebas rasuah.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, inisiatif TM melancarkan OACP telah mencerminkan komitmen organisasi tersebut dalam usaha membanteras aktiviti rasuah selain memperkukuhkan amalan integriti dalam organisasi.


“Diharapkan dokumen OACP yang dilancarkan bukan bersifat  ceremonial sahaja bahkan ia perlu diteruskan dengan perlaksanaan langkah pencegahan rasuah, pelan tindakan risiko rasuah dan pemantauan yang berterusan sehingga integriti dijadikan sebagai budaya harian, sama ada dalam tugasan rasmi atau urusan peribadi.


“Selepas ini seharusnya ada pelaporan serta perlaksanaan tindakan yang dirancang bagi memastikan OACP bukan sekadar dokumen simpanan sebaliknya perlu dijadikan sebagai living document yang sentiasa dirujuk untuk mengurangkan isu rasuah, salah guna kuasa, integriti dan isu governans,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti TM Tahun 2021, di Pusat Konvensyen TM, di sini, hari ini.


Tambahnya, faktor kelemahan dalam kepimpinan dan pengurusan sesebuah organisasi akan memberi ruang serta kesempatan kepada pemberi atau penerima rasuah untuk melakukan jenayah.


“Selain itu, isu-isu berkaitan integriti juga perlu diatasi kerana ia bukan sahaja menyebabkan kehilangan kepercayaan kepada seseorang individu atau sesebuah organisasi malah boleh menyebabkan ancaman ke atas keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara,” jelasnya.


Sempena sambutan tersebut, turut diadakan Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan disaksikan oleh Dato' Sri Ahmad Khusairi.


Sementara itu, turut diadakan Forum Pengukuhan Integriti Dalam Organisasi yang menampilkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan selaku panel jemputan. Forum ini sebagai platform bagi berkongsi informasi serta memberi penjelasan berkaitan salah laku rasuah dalam organisasi.


Hadir sama pada majlis tersebut adalah Pengerusi TM, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehuddin Hassan; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Ketua Pegawai Integriti dan Governans Kumpulan TM, KPKPj Abdul Razak Deraof.



Hit : 695