Berita Terkini

SPRM Lakar Sejarah Tawar Kor SUAR di UniSZA

Kuala Terengganu, 2 Nov - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakar satu lagi sejarah dalam memperkukuhkan agenda memerangi jenayah rasuah dengan menawarkan Kursus Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


UniSZA menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perintis pertama di negara ini yang menawarkan Kursus Kor SUAR berkredit sebagai usaha bersama SPRM dan pihak IPT dalam menyedia generasi pelapis berkualiti yang menolak rasuah.


Ketua Persuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, MoU ini adalah penzahiran komitmen kedua-dua pihak dalam usaha menyediakan generasi pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang yang teguh dengan prinsip menolak rasuah dalam budaya kehidupan. 


"Saya menaruh harapan agar para mahasiswa yang telah mendaftar mengikuti kursus ini agar berfikiran positif, berjiwa kental dan meneruskan perjuangan sehingga berjaya menamatkan sesi hingga ke semester empat bagi ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Remaja Bertauliah.


"Melangkahlah dengan bangga apabila telah bergraduasi dan berpeganglah pada prinsip menolak rasuah. Jangan berkompromi dengan sebarang perlakuan jenayah rasuah. Jangan jual maruah diri hanya kerana ingin mengejar kesenangan hidup yang mudah," katanya.


Tambahnya, penawaran kursus ini telah melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat IPT yang sebelum ini sudah diperkenalkan kelab Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) dan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR).


Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara SPRM dan Universiti Sultan Zainal Abidin yang diadakan di Dewan Perdana, UniSZA, hari ini.


MoU itu ditandatangani antara Tan Sri Dato' Sri Haji Azam dan Prof. Dr. Fadzli Adam yang menjalankan fungsi Naib Canselor UniSZA.


Dalam majlis itu juga, telah diadakan majlis pemakaian Pangkat Kehormat kepada Prof Dr Fadzli, ahli-ahli akademik lain serta ahli-ahli lantikan pertama SUAR.


Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor; Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato' Idris Zaharudin; Pengarah SPRM Negeri Terengganu, KPKPj Ruslan Che Amad dan Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, KPKPj Ahmad Sabri Mohamed.


Hit : 2307