Berita Terkini

SESB Sahut Seruan SPRM Lafaz IBR

Kota Kinabalu, 29 Nov – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah menyahut seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada 26 November lepas.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, inisiatif ini merupakan suatu langkah proaktif kerana ia mampu meningkatkan rasa tanggungjawab pihak pengurusan dan warganya dalam melaksanakan tugas serta menjauhkan diri daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.


“Usaha ini juga dapat menyebarluas nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik serta tidak membenarkan sebarang perbuatan rasuah berlaku dalam organisasi.


“Setiap warga kerja SESB juga perlu mematuhi sepenuhnya Kod Etika jabatan bagi mewujudkan persekitaran budaya kerja yang positif dan kondusif,” ujar beliau.


Tan Sri Dato' Sri Haji Azam berkata demikian melalui rakaman video pada Majlis Perasmian Hari Integriti SESB Tahun 2021 & Pelancaran Buku Pelan Antirasuah SESB Tahun 2021-2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.


Tambah beliau, Buku Pelan Antirasuah SESB ini dapat dijadikan panduan dalam usaha membanteras rasuah serta meningkatkan budaya kerja berintegriti.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Ahli Lembaga Pengarah SESB, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai; Pengerusi Tenaga Nasional Berhad SESB, Dato' Sri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dan Pengarah SPRM Negeri Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y.Subbiah.


Hit : 1988