Berita Menarik

Seleweng dana MITRA: 15 individu termasuk wanita direman

PUTRAJAYA – Seramai 17 individu yang merupakan pengarah syarikat termasuk satu wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan penyelewengan dana geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Kesemua mereka telah dihadapkan hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim dengan berpakaian lokap berwarna oren dan tangan digari sambil dikawal ketat oleh penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Majistret yang mendengar permohonan SPRM telah membenarkan 15 orang daripadanya direman antara dua hingga tujuh hari bermula hari ini hingga 1 November ini.

Manakala dua lelaki lagi telah telah dibebaskan dengan jamin SPRM RM8,000 setiap orang.

Mengikut pecahan tempoh reman membabitkan 15 orang pengarah syarikat itu, lima orang daripadanya telah direman selama tujuh hari sehingga 1 November ini bagi membantu siasatan SPRM.

Manakala seorang telah dibenarkan direman SPRM selama lima hari sehingga 30 Oktober ini disusuli tujuh orang lagi direman empat hari sehingga 29 Oktober ini sementara dua orang lagi masing masing direman dua dan tiga hari iaitu sehingga 27 dan 28 Oktober 2021.

Terdahulu, SPRM telah menahan seramai 16 orang pengarah syarikat berusia antara 24 hingga 68 tahun dalam satu operasi besar-besaran yang diadakan di sekitar Lembah Klang bermula petang hingga lewat malam tadi.

Menurut sumber, dianggarkan puluhan juta didakwa dilesapkan oleh kumpulan berkenaan yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosio-ekonomi masyarakat India di Malaysia.

“Siasatan kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh MITRA bermula tahun 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan perlaksanaan program pembangunan socio-ekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya,” menurut sumber SPRM dalam kenyataan hari ini.

Tambah sumber, peruntukan berkenaan dipohon daripada MITRA dan kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) dan seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber : MalaysiaGazette


Hit : 2164