Berita Menarik

Inspektor dan empat anggota polis didakwa terbabit rasuah

Seorang Inspektor dan empat anggota polis mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah bagi membebaskan pesalah kes dadah, di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini.

Kelima-lima tertuduh iaitu Inspektor Joevian Gubal Michael, 41; Lans Koperal Afizul Azwan Anuar, 29; Lans Koperal Hairul Amid, 36; Sarjan Azizul Ismail, 32; dan Koperal Abdullah Bakir, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Kelima-lima tertuduh yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud masing-masing didakwa menerima rasuah daripada Anizan Misdaranai, 39, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Anizan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Joevian Gubal, Afizul Azwan dan Azizul masing-masing didakwa bagi empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,400, RM 470 dan RM900 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik ketiga-tiga tertuduh antara 16 November 2016 hingga 30 Julai 2017.

Sementara itu, Hairul didakwa atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Kerjasama Rakyat milik tertuduh antara 11 Ogos 2017 hingga 30 Mei 2018.

Abdullah pula didakwa atas 18 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,250 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Rakyat milik tertuduh antara 14 April 2014 sehingga 1 Oktober 2015.

Bagi kesemua kesalahan itu, kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Sekysen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kelima-lima tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan bayaran antara RM8,000 (deposit RM4,000) hingga RM10,000 (deposit RM5,000) serta seorang penjamin tempatan.

Hakim menetapkan 24 November sebagai tarikh pengurusan kes dan semua tertuduh diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan semua tertuduh diminta melapor diri setiap dua bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nurul Izzati Sapifee dan tertuduh diwakili peguam PJ Perira & Dasan.

Sumber : Utusan


Hit : 2766