Kolumnis@SPRM

Peranan PPPR - Pantau Perjalanan Kerja, Perkasakan Usaha Pencegahan Rasuah


Oleh :
KPKPj NAZLI RASYID SULONG
Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

 

Semak dan imbang adalah salah satu daripada ciri-ciri dalam pengamalan doktrin pengasingan kuasa yang diperkenalkan oleh Barat yang membenarkan pertindanan bidang kuasa antara tiga badan utama dalam pemerintahan sesebuah kerajaan iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman. 

 

Matlamat utama semak dan imbang ini bagi memastikan setiap badan tersebut diberikan haknya dan badan lain tidak boleh untuk mencampurinya tanpa sebab dan alasan yang kukuh. 

 

Mekanisme semak dan imbang ini secara tidak langsung membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, ketelusan dan keberkesanan SPRM dalam pelaksanaan kewajipan fungsinya mengikut undang-undang yang ditetapkan, kata Datuk Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM - 21 Jun 2021.

 

Di Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong, mekanisme semak dan imbang ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penasihat (Advisory Committees) yang terdiri daripada empat (4) jawatankuasa iaitu Advisory Committee on Corruption, Operations Review Committee, Corruption Prevention Advisory Committee serta Citizens Advisory Committee on Community Relations. Selain itu, terdapat Independent Complaints Committee yang berperanan dalam membuat pemantauan dan penilaian semula aduan-aduan terhadap pegawai-pegawai ICAC Hong Kong yang bukan berunsurkan jenayah. 

 

Dalam konteks semak dan imbang di bawah strategi pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Panel Pencegahan dan Perundingan Rasuah (PPPR) telah dibentuk secara pentadbiran. Ahli PPPR yang terdiri daripada bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli politik (kerajaan dan pembangkang), golongan profesional dari kalangan ahli perniagaan dan sektor korporat, ahli akademik, peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang mempunyai reputasi baik dan disegani ini dilantik oleh Perdana Menteri.

 

PPPR yang merupakan pemantau bebas ini mewakili pelbagai kumpulan masyarakat seperti ahli akademik, dewan perniagaan, pakar media, aktivis sosial dan pertubuhan. Mereka ini diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan negara bebas rasuah serta masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.

 

Benteng SPRM

 

PPPR juga berperanan sebagai benteng SPRM apabila berdepan dengan isu-isu negatif yang sengaja dibangkitkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan. Sebagai contoh, PPPR telah tampil mempertahankan pegawai-pegawai SPRM pada tahun 2015 yang telah diambil tindakan oleh agensi penguatkuasaan yang lain semasa siasatan terhadap 1MDB dan SRC International dijalankan. Susulan itu, Pengerusi PPPR pada masa itu, Tan Sri Johan Jaafar telah mengeluarkan kenyataan secara terbuka berhubung isu tersebut kerana ia telah menyebabkan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM menurun sekali gus memberi tekanan emosi dan mental kepada pegawai-pegawainya.

 

PPPR juga telah mengambil langkah proaktif dalam mencadangkan secara terbuka supaya SPRM diletakkan di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mengukuhkan lagi kebebasan dan ketelusan Suruhanjaya ini. 

 

PPPR sebagai penasihat

 

Seperti sedia maklum, SPRM bukan hanya mencegah rasuah melalui operasi siasatan dan perisikan sahaja, malah turut mempunyai sayap pencegahannya yang bertindak melaksanakan pencegahan rasuah melalui kawalan terhadap amalan, sistem, dan tatacara kerja serta pendidikan rasuah. Ini merupakan fungsi utama SPRM sepertimana yang telah digariskan di Seksyen 7(c), (d), (e) dan (f) Akta SPRM 2009. 

 

Dalam melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, SPRM, berperanan untuk meneliti amalan, sistem dan tatacara badan-badan awam untuk memudahkan penemuan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 seterusnya menasihati  ketua badan-badan awam tentang apa-apa perubahan dalam amalan, sistem atau tatacara yang sesuai dengan penunaian berkesan kewajipan-kewajipan badan-badan awam itu. Selain itu juga, SPRM berperanan untuk  mengarahkan, menasihati serta membantu mana-mana orang atas permintaannya tentang cara-cara bagaimana rasuah dapat dihapuskan serta mendidik orang ramai untuk menentang rasuah dan mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah.

 

Sebagai Panel yang telah dibentuk pada 2009, ia berfungsi untuk menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah, meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah, meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta, serta menasihati SPRM tentang amalan-amalan baik (best practices) dalam bidang-bidang yang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah. 

 

Selain itu, PPPR juga berperanan sebagai key communicator dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh SPRM. PPPR juga mengemukakan ulasannya tentang penjalanan oleh SPRM akan fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah(LPPR).

 

Di Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) pula, PPPR memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pemeriksaan dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh supaya ruang dan peluang perlakuan rasuah, kelompongan isu-isu tadbir urus  seperti kelemahan ke atas kawalan dalaman, sistem dan prosedur agensi dikenalpasti dan dirawat melalui cadangan penambahbaikan.

 

PPPR bersidang melalui Mesyuarat Panel Penilaian Pencegahan Rasuah yang diadakan mengikut keperluan semasa. Melalui mesyuarat ini, pelbagai isu-isu semasa berkaitan rasuah boleh dibincangkan. Ahli-ahli panel juga berpeluang melontarkan idea dan saranan mereka berdasarkan pengetahuan, pemerhatian dan pengalaman mereka berhubung pencegahan rasuah dalam sesuatu isu yang berlegar. Melihat kepada keperluan mesyuarat ini diadakan dengan lebih kerap, ahli panel mencadangkan agar ianya dijalankan setiap dua (2) bulan.

 

Melalui mesyuarat ini, BPMP dapat membentangkan hasil pemeriksaan yang telah dilaksanakan bagi membolehkan ia dibincangkan. Ahli-ahli PPPR yang mahir dan berpengalaman dalam bidang-bidang mereka akan meneliti serta memberikan pendapat, pandangan dan cadangan kepada BPMP untuk menambahbaik sesuatu kelemahan yang dikenalpasti. 

 

Sesi ini penting bagi memastikan ruang dan peluang rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa serta isu-isu tadbir urus tidak terlepas pandang oleh BPMP. Selain itu, platform ini juga perlu bagi memastikan ahli-ahli panel menerima dan memahami isu yang berlaku dalam pemeriksaan dan perundingan supaya mereka boleh menjelaskan kepada orang awam apabila perlu memandangkan mereka juga secara tidak langsung adalah jurucakap SPRM.

 

Cadangan penambahbaikan ini pula akan diberikan kepada ketua badan-badan awam agensi melalui suatu sesi Khidmat Nasihat sepertimana fungsi SPRM dibawah Seksyen 7(e) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Cadangan-cadangan yang akan dikemukakan dapat membantu badan-badan awam dan agensi mengatasi masalah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa serta isu-isu tadbir urus. 

 

Libat Urus Pencegahan Rasuah

 

Selain mesyuarat, ahli PPPR juga mengadakan kunjungan hormat ke agensi-agensi awam serta badan berkanun sebagai sesi perkongsian maklumat mengenai inisiatif untuk meningkatkan tadbir urus serta usaha-usaha pencegahan rasuah dan salah guna kuasa, pengalaman dan percambahan idea selain menjalinkan kerjasama erat antara agensi. 

 

SPRM sentiasa melaksanakan fungsinya secara bebas, telus dan profesional, mengikut lunas undang-undang. Meskipun begitu, masih terdapat masyarakat yang mempertikaikan kebebasan dan ketelusan SPRM. Pembentukan dan penglibatan badan-badan bebas yang memantau SPRM amnya, PPPR khususnya terhadap BPMP telah banyak membantu meningkatkan kecekapan, keberkesanan, ketelusan serta akauntabiliti BPMP dalam melaksanakan tanggungjawabnya.


Hit : 3057