Berita Pendidikan

Jabatan Imigresen Selangor Kukuhkan Jalinan Kerjasama Melalui Kunjungan Hormat Kepada Pengarah SPRM Selangor

SHAH ALAM, 5 Okt - YBhg Dato’ Haji Alias Salim, Pengarah SPRM Selangor menerima  kunjungan hormat daripada Encik Mohamad Shukri Nawi, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Selangor di Kompleks Pejabat SPRM Negeri Selangor hari ini.

Kunjungan ini bertujuan bagi mengadakan jalinan kerjasama yang berterusan antara SPRM Negeri Selangor dengan Jabatan Imigresen Negeri Selangor dalam usaha mengukuhkan integriti dan menyebarluas mesej anti rasuah bagi memastikan amalan tadbir urus yang baik di kalangan pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen negeri Selangor.

YBhg Dato’ Alias Salim dalam taklimatnya menerangkan tentang peranan SPRM dan empat (4) kesalahan utama dalam Akta SPRM 2009 serta mengajak penjawat awam di Negeri Selangor khususnya Jabatan Imigresen Malaysia supaya melaporkan sebarang bentuk perlakuan rasuah yang berlaku di sekeliling mereka, dan yang paling utama tampil melaporkan rasuah apabila disogok atau ditawarkan.

Diharapkan kunjungan ini dapat menjadikan satu titik tolak kepada hubungan kerjasama yang padu antara SPRM Negeri Selangor dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor.


Hit : 4319