Kolumnis@SPRM

Banteras rasuah bebaskan belenggu imej dunia ketiga


Oleh:

Mohd Prasad Hanif

Ketua Pegawai Eksekutif

Darul HaqGlobal Ventures Sdn Bhd

Keberanian untuk lebih berterus terang dalam memperkatakan gejala rasuah di negara ini, termasuk dalam kalangan media menjadi perkembangan yang positif ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Apatah lagi, pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-4, Parlimen Ke-14, Yang di-Pertuan Agong bertitah baginda menyambut baik langkah kerajaan menggalakkan amalan tadbir urus baik berteraskan integriti.

Oleh itu, titah baginda, amat bertepatan bagi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) untuk terus didukung bagi mencapai aspirasi rakyat untuk hidup dalam negara bebas rasuah dan berintegriti.

Menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya ahli Parlimen untuk memacu pelaksanaan NACP dan OACP. Kesungguhan politik akan menentukan arah, pelaksanaan dan pencapaiannya.

Apatah lagi, rakyat mengharapkan kerajaan meningkatkan komitmen semua pihak, terutama orang politik dalam memerangi rasuah dan mengukuhkan ketelusan, kebertanggungjawaban mahupun integriti.

Oleh itu, semua pihak perlu melihat semua isi kandungan NACP dan OACP, kemudian segera melaksanakannya. Kita sudah tidak punya banyak masa untuk mencapai objektif dasar itu sebab tempoh pelaksanaan NACP hingga 2023, manakala OACP pula pada 2024.

Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) merupakan badan yang membangunkan NACP dengan 115 inisiatif terbaik. Namun, pelaksanaannya agak perlahan termasuk gara-gara ketidakstabilan politik dalam negara dan penularan pandemik COVID-19.

Justeru, titah Yang di-Pertuan Agong wajar dibuktikan dengan tindakan pada rentak atau kadar lebih pantas, ikhlas serta bersungguh.

Sekurang-kurangnya perlu ada jawapan meyakinkan seperti pengumuman langkah atau komitmen menyemak semula kandungan NACP dan memasukkan elemen pembaharuan membabitkan skop lebih besar, kritikal serta penting, selain ia ditekankan sebagai gejala dan jenayah, bukan disebut sebagai 'amalan.'

Dalam kedua-dua pelan itu, sudah jelas pihak mana diberi peranan, memikul amanah dan melunaskan tanggungjawab untuk mendorong pelaksanaannya. Manual NACP memang lengkap dan padu, tetapi berapa ramai membaca dan mencerna aspirasi serta sanggup melaksanakannya?

Apakah kita rasa apabila terbaca kenyataan seperti, "Antara 2005 hingga 2014, Malaysia kehilangan sebanyak RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan tidak sah yang sebahagiannya berpunca daripada amalan rasuah."

Manual NACP dan OACP ialah pendedahan berani dan situasi sebenar rasuah di negara ini. Ia jelas menyebut mengenai tujuh isu utama dihadapi negara dalam memerangi rasuah. Selepas semuanya dikenal pasti, laluan terbuka untuk kerajaan bertindak tegas menjayakan dasar antirasuah ini.

Jika dilihat kronologi inisiatif membanteras jenayah rasuah dan memperkasa integriti di negara, ia dimulakan Pelan Integriti Nasional 2004; Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 (2010); Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 (2012) dan NACP (2019-2023).

Ini komitmen konsisten kerajaan terhadap usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, namun pelaksanaan serta hasilnya belum boleh dibanggakan.

Pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International juga turun naik, tetapi masih terbuka luas untuk memperbaiki kedudukan yang sepatutnya sesuai cerminan imej Malaysia sebagai negara Islam.

Menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkuat kuasa 15 Julai lalu hingga 14 Julai 2024, rakyat mahu melihat kadar jenayah rasuah dan CPI diberi keutamaan oleh pelabur, mampu menjadi lebih baik.

Apatah lagi JKMR dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) baru-baru ini sepakat bekerjasama menggerakkan usaha, pendekatan serta membuat anjakan paradigma baharu dalam memerangi rasuah di negara ini.

Malaysia boleh belajar dari New Zealand, Denmark dan Singapura membina negara dapat membanteras jenayah rasuah serta menyuburkan integriti dan nilai murni dalam diri rakyatnya.

Konsep penyuburan integriti dan pengalaman negara terbabit ada untuk dipelajari, tetapi apa sangat penting, komitmen pemimpin dan rakyat.

Dalam kajian World Values Survey, Malaysia mencatat defisit amanah di setiap bidang industri berbanding New Zealand. Memandangkan struktur badan pencegah rasuah dan integriti hampir sama dengan negara itu, ini bermakna penekanan jati diri, integriti dan komitmen pemimpin perlu diperbaiki.

Pada 2003, CPI Malaysia di tangga ke-37 manakala pada 2019, kita di tangga ke-51 berbanding Singapura (4) dan Brunei (34). Ketara sekali, rakyat New Zealand dan Singapura menolak pemimpin terpalit dengan skandal rasuah. Bagaimana dengan rakyat di negara ini?

Selagi kita tidak ada kesungguhan dan komitmen politik diganding dengan pemimpin benar-benar bersih daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, selagi itu kita akan terbelenggu dalam perangkap dengan imej dan status dunia ketiga.

 Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.


Hit : 2201