Kes-kes Menarik

Pembantu operasi hospital didakwa buat tuntutan palsu RM7,050

JOHOR BAHRU - Seorang pembantu operasi sebuah hospital kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin terhadap empat pertuduhan tuntutan palsu membabitkan nilai RM7,050 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zuraiha Zakri, 38 yang kini bekerja di Hospital Kota Bahru Kelantan membuat pengakuan di hadapan hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zuraiha didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) berkaitan dokumen pesanan penghantaran (delivery order) atas nama sebuah syarikat.

Ia berhubung penyediaan makanan dan minuman bagi tiga program hospital itu yang mana ia tidak dibekalkan seperti mana dalam dokumen berkenaan dan dipercayai untuk mengelirukan pihak hospital.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika bekerja sebagai pembantu operasi Gred N11, di Pusat Penyelidikan Klinikal di HSA pada Julai dan Ogos 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Ihsan Jalaludin dalam hujahannya memaklumkan tiada jaminan di bawah akta berkenaan, namun meminta jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan sekiranya mahkamah memberi kebenaran jaminan dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Salleh Tugimin yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan yang rendah dikenakan memandangkan tertuduh mempunyai seorang anak berusia lima tahun, selain perlu menanggung ibu dan bapa serta pendapatan suami yang rendah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan RM8,000 jaminan terhadap tertuduh dengan nilai RM2,000 bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai serta perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kota Bharu, Kelantan.

Sumber : Sinar Harian


Hit : 221