Kakitangan PKD Jasin hadapi 9 tuduhan rasuah lebih RM31,000
MELAKA: Seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas sembilan pertuduhan menerima suapan membabitkan nilai lebih RM31,000 pada tahun 2018.
Tertuduh, Ab Hanif Ab Hamid, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua sembilan pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga sembilan, tertuduh sebagai pegawai badan awam didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.
Ia membabitkan permohonan pembekalan pelbagai barangan termasuk mangkuk tandas, alas kaki, cat, racun dan mesin rumput yang kesemuanya berjumlah RM31,099.50.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) PKD Jasin, antara 4 Julai 2018 hingga 28 November 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikuti Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Syakila Yaacob yang kemudian mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000. Tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin.
Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kesemua pertuduhan selain memerintahkannya melapor diri dua bulan sekali ke Pejabat SPRM negeri.
Beliau turut menetapkan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 20 Oktober ini.
Sumber : Berita Harian