Berita Menarik

Guna kedudukan, beri projek pembekalan kepada adik

MELAKA: Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan menerima suapan melalui kerja pembekalan berjumlah lebih RM31,000 menerusi syarikat adiknya.

Tertuduh, Ab. Hanif Ab. Hamid, 40, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan terlibat dalam permohonan pembekalan kepada Perniagaan Thronez Enterprise milik adiknya.

Ia melibatkan sembilan kerja pembekalan keperluan bagi Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (Bakas), PKD Jasin, Melaka termasuk peralatan tandas, cat, racun, mesin rumput dan skru bernilai keseluruhan RM31,099.50.

Tindakan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bakas, Pejabat PKD Jasin antara 4 Julai sehingga November 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM Melaka, Nur Syakila Yaacob mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 bagi kesemua pertuduhan.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM.

Tertuduh yang diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin hanya bersetuju dengan cadangan tersebut.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat SPRM.

Hakim menetapkan tarikh 20 Oktober ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. –

Sumber : UTUSAN ONLINE


Hit : 1648