Kes-kes Menarik

Rasuah urus niaga kelapa sawit: Bekas pegawai tadbir MPOB didenda RM5,000

IPOH: Seorang bekas pegawai tadbir Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan memperoleh suapan daripada seorang individu berkaitan urus niaga kelapa sawit tanpa lesen, Oktober tahun lepas.

Hakim S Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu terhadap Selamat Mulyono Juni, 37, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pilihan sewaktu sebutan kes hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya dia gagal membayar denda. Selamat Mulyono membayar denda tersebut.

Selamat Mulyono didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan untuk dirinya wang tunai RM1,500 daripada Shafrullah Abu Kasim.

Perbuatan itu sebagai dorongan kononnya agar pihak penguatkuasaan MPOB tidak akan mengambil sebarang tindakan kepada Shafrullah atas kesalahan syarikatnya, iaitu Khaffa Vision Enterprise yang menjalankan urus niaga buah kelapa sawit setelah lesen perniagaan “Dealer Fruit” (DF) MPOB tamat tempoh.

Selamat Mulyono didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Parit Buntar pada 6.35 petang 20 Okt tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada 9 Mac lepas, Selamat Mulyono turut didakwa atas satu lagi pertuduhan, iaitu meminta suapan RM6,000 daripada lelaki yang sama sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti gambar siasatan berhubung kesalahan urusniaga tersebut.

Bagaimanapun, pertuduhan itu telah diputuskan sebagai ‘take into consideration’ oleh pihak mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Siti Salwani Md Shah.

Sumber : BERNAMA

Hit : 275