Berita Menarik

‘Payung’ lori lakukan kesalahan, bekas penolong penguat kuasa JPJ dipenjara 20 bulan, denda RM80,000

BUTTERWORTH: Seorang bekas penolong penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dihukum penjara 20 bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan menerima suapan lima tahun lepas.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Hanisham Din, 50, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Hanisham didakwa menerima suapan daripada syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori milik syarikat tersebut yang dikatakan mungkin melakukan kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 2016.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan lapan pertuduhan pilihan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hanisham pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 21 Ogos 2019 dan mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan dan pertuduhan pilihan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam C P Ang.

Sumber : FMT

Hit : 1649