Berita Terkini

Selamat Bersara Dato' Sri Shamshun Baharin, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali Dilantik TKPP Baharu

PUTRAJAYA, 1 Sept. – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (TKP)(Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil hari ini menamatkan perkhidmatan beliau selepas 37 tahun berbakti sebagai pegawai SPRM dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Hari bersejarah beliau itu diraikan oleh warga SPRM dalam Majlis Paluan Berundur SPRM di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Sambutan ini telah dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam berskala kecil, secara terbuka dan terkawal.

Sementara itu, jawatan beliau kini akan digantikan oleh mantan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali  berkuatkuasa mulai 2 September 2021 sebagai TKP (Pencegahan) yang baharu.

Dato' Sri Shamshun dalam ucapannya berkata, sepanjang tiga dekad perkhidmatannya, pelbagai suka duka telah beliau alami dan lalui bersama rakan-rakan seperjuangan di SPRM. Namun apa yang penting adalah hubungan silaturahim sesama warga tidak akan terjejas dan tetap kekal abadi.

"Saya ingin menyeru warga SPRM supaya mengamalkan prinsip ‘esprit de corps’ yang membawa maksud semangat bekerjasama, semangat kekitaan atau semangat berpasukan. Keberkesanan pencegahan rasuah adalah bergantung kepada kerja berpasukan dalam kalangan anggota SPRM untuk memastikan negara ini bersih dan bebas daripada rasuah.”

“Saya juga ingin menggalakkan warga SPRM agar mempunyai sikap sentiasa belajar dalam melaksanakan sebarang pekerjaan dan mengendalikannya dengan penuh rasa tanggungjawab dan sepenuh hati,” ujar beliau. 

Tambah beliau, pegawai dan kakitangan SPRM juga perlu memberi perhatian terhadap kesihatan fizikal dan mental masing-masing. Warga SPRM perlu mengamalkan amalan gaya hidup yang sihat dan aktif seperti bersenam di gimnasium atau bersukan. 

Dalam majlis tersebut, turut diadakan Majlis Penyerahan Tugas oleh Dato' Sri Shamshun kepada Datuk Seri Norazlan.

Dato' Sri Shamshun Baharin turut dinobatkan sebagai Tokoh Inovasi atas sumbangan beliau terhadap transformasi digital dan pemangkin idea-idea baru dalam pencegahan rasuah.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Junipah Wandi; Pengerusi PUSPANITA, Datin Seri Normah Mohd Zin; Timbalan Pengerusi PUSPANITA I, Datin Sri Nik Asmat Nik Hussin dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Negeri SPRM.

Hit : 5038