Berita Menarik

Cuba suap pegawai PGA, ahli perniagaan didenda RM18,000

KUCHING: Perbuatan seorang ahli perniagaan yang cuba menawarkan wang suapan kepada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) membawa padah apabila dia didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Steve Ritikos juga memerintahkan tertuduh, Ting Chung Hock, 51, yang mengaku bersalah mengikut pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan, untuk dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan alternatif, lelaki tersebut didakwa menawarkan suapan berjumlah RM10,000 kepada pegawai PGA Batu Kawa, Inspektor Lokman Adli Ihsan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.  

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 23 April 2019, jam lebih kurang 3.50 petang semasa berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Tebedu.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menawarkan wang kepada pegawai tersebut susulan dia disyaki cuba menyeludup keluar barang-barang kawalan iaitu, tong gas, beras dan gula ke Indonesia. 

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pemandu lori didenda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar selepas mengaku bersalah cuba menawarkan suapan berjumlah RM4,000 kepada seorang pegawai PGA berpangkat ASP.

Chai Chong Ping, 33, didakwa menawarkan wang tersebut kepada ASP Mohd Mazlan Mohd Arif pada 16 Julai 2019, jam lebih kurang 12.45 tengah hari di kedai miliknya di Serian Industrial Area, Serian.

Tertuduh menawarkan suapan sebagai balasan supaya tidak diambil tindakan undang-undang kerana tertuduh sebagai pemborong, telah disyaki menjual barang kawalan iaitu 62 buah tong gas kepada orang yang tidak mempunyai lesen runcit dan merupakan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Nisla Abdul Latif manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


Sumber : Utusan Borneo
Hit : 2022