Berita Menarik

Warga Thailand didenda RM7,000 cuba rasuah anggota PGA

Kangar: Seorang lelaki warga Thailand didenda RM7,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan menawarkan suapan kepada seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai balasan untuk melepaskan daripada kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di Padang Besar pada April lalu.

Tertuduh, Phuwanai Reangmanee, 30, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh sebelum itu mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM4,800 kepada seorang anggota PGA berpangkat Koperal sebagai balasan melepaskan dirinya atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana berada di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di ladang getah KTJ Komtak B Pos C26 Padang Besar jam 11.30 malam pada 23 April lalu.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh yang tidak melebihi 15 bulan (satu perempat hukuman maksimum lima tahun penjara kesalahan di bawah Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara) atau denda atau keduanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azlina Khasim manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1721