Kolumnis@SPRM

Jutawan Tanpa Rasuah


Oleh:
DATO’ SRI SHAMSHUN BAHARIN MOHD JAMIL
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Penutupan hampir sebahagian besar sektor ekonomi negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari PKP 1.0 pada Mac tahun lalu kemudian PKP 3.0 memberi kesan besar kepada semua jenis sektor dengan sektor paling terkesan ialah penerbangan, pelancongan, perhotelan dan sebagainya.

Kerajaan terpaksa melaksanakan PKP 3.0 pada 1 Jun 2021, bertujuan memutuskan rantaian Covid-19 yang ketika itu menyaksikan jumlah kes jangkitan mencecah sehingga lebih 12,000 kes sehari dengan jumlah kematian melebihi 6,000 orang.

Pada 15 Jun lalu, kerajaan bertindak mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu satu strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 menerusi empat fasa pelaksanaan.

Kesannya, ramai yang terjejas seperti kehilangan pekerjaan akibat penutupan operasi perniagaan, pengecilan jumlah pekerja dan juga ada yang memindahkan operasi perniagaan ke luar negara.

Meskipun sektor perniagaan menerima sedikit kelonggaran atau ‘bernafas semula’ apabila PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) diperkenalkan, namun ia bersifat sementara dan menyukarkan sektor berkenaan melakukan perancangan jangka panjang.

Natijahnya, untuk sesebuah syarikat atau organisasi perniagaan untuk ‘bangkit’ semula daripada kejatuhan akibat pandemik ini akan mengambil masa lama untuk kembali pulih seperti biasa.

Namun, disebalik kesan pandemik yang melanda Malaysia dan seluruh dunia ketika ini, ada juga sektor perniagaan yang tidak terjejas teruk misalnya, perkhidmatan pembelian barangan dalam talian, penghantaran barangan atau makanan yang terus mendapat permintaan tinggi disebabkan kebimbangan orang ramai untuk keluar dari rumah.

Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti ‘personal shopper’ atau pembeli peribadi yang banyak memudahkan mereka yang memerlukan bantuan untuk membeli barangan keperluan harian di pasar atau kedai runcit.

Berbeza pula dengan operasi syarikat-syarikat besar yang bergantung kepada tender-tender besar sama ada daripada syarikat swasta ataupun kerajaan mahupun syarikat-syarikat kecil yang menjalankan pelbagai operasi perniagaan.

Adakah mereka juga terjejas? Bagaimana mereka harus mencari ‘dana’ untuk meneruskan kelangsungan hidup kakitangan mereka yang memang bergantung penuh dengan ‘gaji’ daripada pekerjaan mereka.

Satu kajian yang dijalankan oleh University of the West of England pada 2013, mendapati jumlah rasuah dalam kalangan organisasi komersial berlaku pada skala amat besar ketika krisis ekonomi kerana masing-masing mahu memulihkan perniagaan dengan kadar segera.

Merujuk kepada satu kajian di Malaysia oleh 'KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013, menyatakan 80 peratus responden berasakan perkara berhubung suapan dan rasuah dalam sektor korporat meningkat sejak tahun 2010.

Manakala kajian oleh PricewaterhouseCoopers Global Economic Crime and Fraud Survey 2020 (PwCs 2020) melaporkan jumlah responden yang berdepan dengan jenayah ekonomi meningkat kepada 43 peratus berbanding 41 peratus pada 2018.

Dalam kajian PwCs pada 2018 turut mendapati, sebanyak 11 peratus responden kehilangan peluang perniagaan disebabkan syarikat pesaing membayar suapan dan jumlah itu meningkat kepada 30 peratus pada tahun 2020.

Bagaimanapun, tidak semua syarikat atau ahli perniagaan yang berjaya di negara ini, mengamalkan rasuah dan melakukan penipuan dalam perniagaan masing-masing.

Memetik satu kisah kejayaan seorang usahawan Bumiputera yang kini sudah bergelar jutawan, beliau berjaya dalam bidang perniagaan yang dipeloporinya sejak lebih 30 tahun lalu adalah hasil usaha gigihnya sendiri.

Setiap kali beliau ingin membuka cawangan kedai baharu, perkara pertama yang akan dilakukan ialah menunaikan solat sunat hajat dan dengan izin Allah SWT lokasi kedai yang dihajatinya tercapai.

Begitulah sifat dan amalan mulia usahawan ini yang tidak menggunakan kaedah yang bertentangan dengan ajaran Islam apatah lagi cuba ‘memberi’ sogokan kepada pihak tertentu untuk mendapatkan apa yang dimahukan.

Satu lagi sifat terpuji beliau ialah sentiasa bersedekah kepada golongan memerlukan dan amalan sedekahnya dilakukan setiap hari dengan menubuhkan pasukan tanggungjawab sosialnya (CSR) sendiri yang akan bergerak ke seluruh negara menghulurkan bantuan.

Antara rahsia kejayaan usahawan ialah dengan mengamalkan tiga perkara ini iaitu tidak meninggalkan solat, sentiasa hormat kepada ibubapa serta bersedekah.

Sebagaimana kita tahu, menerusi amalan sedekah, seseorang akan dimurahkan rezeki, terhindar bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian buruk atau dalam keadaan tidak beriman (su’ul khotimah) kerana ia membawa rahmat, selain menghapuskan sifat sombong, takbur serta menunjuk-nunjuk.

Selain kebaikan di dunia, amalan bersedekah juga menjanjikan kelebihan di akhirat.

Sebenarnya, segala nikmat dan rezeki yang kita perolehi ini semuanya datang daripada Allah SWT. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan melaksanakan kerja yang diamanahkan dengan jujur tanpa mengharapkan balasan tentulah hasil yang diperolehi akan diberkati.

Berdasarkan kepada statistik dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung jumlah kes rasuah yang membabitkan organisasi komersial swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi tahun 2019 sehingga Jun 2021 di mana penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 1,462 kes, kertas siasatan (566 kes) dan tangkapan (671 kes).

Berdasarkan statistik terkini itu, sebanyak 232 kertas siasatan dibuka pada 2020 berbanding 200 kes pada 2019 manakala jumlah tangkapan pada 2020 ialah 262 kes berbanding 267 kes pada 2019.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 678 kes dan kertas siasatan (134 kes) manakala tangkapan 142 kes.

Berbanding jumlah kes rasuah yang membabitkan organisasi komersial bagi tahun 2014 sehingga 2018 di mana penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 1,517 kes, kertas siasatan (900 kes) dan tangkapan (782 kes).

Ini menunjukkan masalah rasuah dalam sektor perniagaan di Malaysia sebelum berlakunya penularan wabak Covid-19 sudah berada pada tahap membimbangkan dan jumlah kes dilihat masih tinggi meskipun ketika negara masih bergelut untuk memerangi Covid-19 ini dan usaha-usaha vaksinasi sedang giat dilaksanakan.

Justeru, pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat membabitkan organisasi komersial di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkuat kuasa pada 1 Jun 2020 adalah wajar diberi perhatian oleh semua pihak.

Tidak kiralah anda hanya seorang individu yang hanya membekalkan peralatan tulis atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang cuba mendapatkan tender daripada mana-mana syarikat kini tertakluk kepada peruntukan dalam Seksyen 17A Akta SPRM 2009 ini.

Pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang berkuat kuasa 1 Jun 2020 itu adalah sangat bertepatan pada masanya ketika negara sedang membuka semula pintu ekonomi yang terjejas akibat krisis Covid-19.

Ini kerana kita sedia maklum bahawa sektor komersial mempunyai risiko yang tinggi terdedah dan terbabit dalam aktiviti rasuah membabitkan isu tender projek atau kontrak mencecah nilai berjuta-juta ringgit.

Justeru, dengan adanya akta ini, kes rasuah dalam sektor komersial dapat dikurangkan dan diatasi dengan cara lebih menyeluruh sekali gus dapat membantu usaha SPRM dalam membanteras jenayah rasuah di negara ini.

Peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 ini mendorong organisasi komersial mengambil langkah yang wajar dan selari bagi memastikan perniagaan dijalankan dengan integriti tanpa rasuah.

Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan di bawah Seksyen 17A, hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Garis Panduan Tatacara Mencukupi yang disediakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) menetapkan lima prinsip asas dikenali sebagai T.R.U.S.T. sebagai usaha mencegah rasuah dalam syarikat tersebut boleh dijadikan rujukan.

Pertuduhan pertama membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 telah dilaporkan media pada 17 Mac 2021.

Dalam kes itu, seorang bekas pengarah syarikat yang membekalkan perkhidmatan penyewaan kapal telah ditahan SPRM kerana disyaki memberi rasuah sebanyak RM321,350 sebagai imbuhan memberikan sub-kontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Kejadian tersebut berlaku antara 29 Jun hingga 14 Oktober 2020 melibatkan nilai keseluruhan projek sebanyak RM1 bilion.

Justeru, semua pihak khususnya pihak pengurusan syarikat boleh menjadikan amalan menjauhi rasuah ini sebagai satu amalan standard atau norma baharu yang kita perlu patuhi setiap masa sebagaimana SOP yang perlu kita patuhi seperti memakai pelitup muka ketika Covid-19 ketika ini.

Rasuah jika dibiarkan boleh menjadi ‘barah’ dan bukan sahaja merosakkan nilai atau integriti seseorang individu malah seluruh masyarakat disekelilingnya.

Hit : 4259