Berita Menarik

Sarjan mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah

Kota Bharu: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap kerana memiliki ketum, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ameruddin Yusoof, 29, memohon untuk dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa secara rasuah meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lembah Semerak, dekat Pasir Puteh, jam 1 tengah hari, pada 1 April 2019.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Pertuduhan kedua, anggota polis itu didakwa menerima suapan RM5,000 daripada lelaki yang sama untuk membebaskan dua individu yang memiliki ketum di Bandar Baru Pasir Puteh, jam lebih kurang 6.50 petang, pada 1 April 2021.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali yang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi dua pertuduhan itu dan tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya memberikan jaminan paling minimum terhadapnya memandangkan sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia dua bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dengan dan anggota polis itu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap 1 hari bulan.

Hakim kemudian menetapkan 24 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber : Harian Metro


Hit : 2063