Berita Terkini

Tujuh Ahli JKMR Terima Surat Cara Pelantikan

PUTRAJAYA, 26 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan institusi kerajaan yang dipantau oleh lima panel bebas dalam usaha melahirkan sebuah negara bebas rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Menurutnya, selaras dengan penubuhan SPRM pada tahun 2009, lima badan pemantau bebas telah diwujudkan sebagai mekanisme semak dan imbang yang bertujuan untuk memantau, menasihati dan memastikan fungsi serta tanggungjawab SPRM dapat dilaksanakan dengan cekap, bebas, telus dan profesional.

“Pembentukan lima badan pemantau bebas yang termasuk Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA) dibuat melalui peruntukan undang-undang. Manakala pembentukan Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dibuat secara pentadbiran.

“Diharapkan dengan perlantikan ahli JKMR ini dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti Suruhanjaya dalam melaksanakan peranannya,” katanya.

Menurutnya, persepsi yang positif terhadap kewibawaan SPRM dan kerajaan akan memudahkan usaha meraih sokongan dan kerjasama masyarakat dalam membanteras jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Surat cara pelantikan bagi ahli JKMR tersebut telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Hj Md Yasin sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.

Selain itu, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh LPPR tentang perjalanan dan fungsi suruhanjaya ini di bawah Akta SPRM 2009 serta mendapatkan penjelasan dan ulasan mengenai Laporan Tahunan SPRM.

Tujuh ahli JKMR telah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 15 Julai 2021 hingga 14 Julai 2024.

Ahli-ahli JKMR terdiri daripada:

1. YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim (Pengerusi)
    Yang di-Pertua Dewan Negara

2. YB Senator Tuan Ir. Md Nasir Hashim
    Ahli Dewan Negara

3. YB Senator Puan Hajah Raj Munni Sabu
    Ahli Dewan Negara

4. YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad
    Ahli Dewan Negara

5. YB Senator Tuan Zaiedi Haji Suhaili
    Ahli Dewan Negara

6. YB Tuan Hassan Abdul Karim
    Ahli Parlimen Pasir Gudang

7. YB Tuan Wong Hon Wai
    Ahli Parlimen Bukit Bendera


Hit : 2457