SPRM Dan Agensi Kewangan Perlu Bekerjasama Dalam Memerangi Jenayah Rasuah Dalam Negara
Putrajaya, 6 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi kewangan perlu bekerjasama dalam usaha memerangi jenayah rasuah dalam negara terutamanya melibatkan aktiviti jenayah yang semakin rumit dan canggih.
Datuk Seri Azam Baki berkata, memerangi aktiviti jenayah bukan sahaja melibatkan peranan Agensi Penguat kuasa Undang-Undang (LEA) tetapi juga merupakan tanggungjawab semua termasuk setiap lapisan masyarakat, individu serta korporat.
“SPRM telah membangunkan pelbagai strategi untuk bekerjasama dengan institusi-institusi kewangan bagi meningkatkan kesedaran mereka dalam mengenal pasti kaedah rasuah, penipuan dan pengubahan wang haram.
“Pada masa yang sama, suruhanjaya ini juga telah membangunkan senarai tipologi (kaedah dan jenis rasuah, penipuan dan pengubahan wang haram) yang dijadikan sebagai rujukan kepada institusi kewangan supaya isu berkenaan dapat ditangani dengan lebih berkesan,” ujar beliau.
Tambah beliau, perisikan merupakan faktor utama yang melengkapi peruntukan-peruntukan dalam perundangan yang menjadi asas kepada LEA bagi memerangi aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah besar.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan aluan dalam sesi Webinar “Association of Certified Anti-Money Laundering Specialists” (ACAMS) yang berlangsung di sini, hari ini.
Sesi yang berlangsung secara maya ini merupakan program anjuran Bahagian Analisa Kewangan SPRM dan bertujuan untuk mengupas isu berkaitan “The Benefits of Good Intelligence in Achieving Successful Law Enforcement Outcomes in The Fight Against Corruption”.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, TPj Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Pengarah Bahagian Analisa Kewangan SPRM, KPKPj Mohd Azwan Ramli.