Kolumnis@SPRM

Awas, hadiah boleh jadi rasuah


Oleh
Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh
Pensyarah & Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

MENJADI amalan yang sangat mulia dalam Islam supaya saling memberi hadiah. Bahkan, mengikut pandangan ulamak, hukum asal memberi hadiah adalah sunat. Antara tujuannya adalah untuk menyuburkan perasaan kasih-sayang dan mengukuhkan silaturrahim antara sesama kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah dan saling mencintai dan bermaaf-maafanlah supaya ianya menghilangkan rasa dengki daripada kalian.”. [Riwayat Ibnu Asakir]

Rasulullah SAW juga bersabda: “Wahai A’isyah, sesiapa yang memberikan kepada kamu suatu pemberian tanpa dipinta, maka terimalah ia. Pemberian itu adalah rezeki daripada Allah SWT kepada kamu”. [Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi]

Maka, amalan memberi dan menerima hadiah ini telah menjadi kebiasaan yang sangat meluas di kalangan masyarakat pada masa kini.

Setiap peristiwa ada hadiah yang bersesuaian yang diberikan sama ada sempena sambutan hari raya, pertunangan, perkahwinan, hari kelahiran, hari ulangtahun perkahwinan, mendapat cahaya mata dan sebagainya. Abu Hurairah r.a meriwayatkan daripada Rasulullah SAW berkaitan perkara seperti ini.

Sabda baginda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang ditawarkan kepadanya pemberian tanpa dipinta dan tiada keperluan baginya, maka boleh digunakan sebagai rezeki baginya. Sekiranya dia tidak memerlukannya, bolehlah diberikan kepada sesiapa yang lebih memerlukan daripadanya”. [Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi]

Apabila perkara ini telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat, maka ada pula pihak yang mengambil kesempatan daripada keadaan ini. Perkara yang asalnya adalah baik dan bersumberkan daripada ajaran dan perakuan

Nabi SAW ini boleh dieksploitasi olek pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikannya satu daripada lubang rasuah. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati supaya hadiah tidak menjadi rasuah. Rasuah adalah perbuatan keji yang terlarang dalam Islam.

Sehinggakan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka”. [Riwayat Al-Bazzar] Begitulah betapa besarnya dosa rasuah sehingga dijanjikan balasan neraka kepada pemberi, penerima dan orang tengah yang membantu satu-satu perbuatan rasuah.

Untuk memahami perkara ini agar kita terhindar daripada terlibat dengan perbuatan rasuah, maka perlulah kita memahami beberapa perkara asas yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW. Baginda bersabda: “Hanya berlaku setiap amalan itu dengan niat”. [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Manakala dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan lagi: “Kebaikan ialah apa yang tenang hatimu dengannya. Manakala dosa ialah sesuatu yang menyebabkan gelora dalam dirimu dan kamu tidak suka untuk diketahui oleh orang ramai.”. [Riwayat Ahmad]

Jelas daripada hadis ini Rasulullah menerangkan perbezaan antara perbuatan yang baik dan yang buruk. Kedua-duanya adalah hasil perbuatan yang bermula daripada niat. Perlu dibezajan antara hadiah dan rasuah.

Pertimbangan pertama yang perlu diambil perhatian ialah berkaitan masa sesuatu hadiah itu diberikan atau diterima.

Perkara ini memberikan perbezaan yang nyata antara hadiah dan rasuah. Seperti pemberian sebagai ganjaran untuk anda melakukan sesuatu yang bukan kerja anda atau mempercepatkan kerja daripada tempoh biasa atau melakukan yang tidak sepatutnya, maka ia sememangnya akan dikira sebagai rasuah.

Apatah lagi, sekiranya sesuatu pemberian itu tanpa sebarang kaitan masa, maka dengan sendirinya membawa kepada makna rasuah. Namun, sekiranya pemberian itu dihulurkan semasa ada sempena yang tertentu, maka secara logiknya ia bermaksud hadiah semata-mata.

Contohnya ialah jika hadiah diterima semasa sambutan hari jadi. Sudah pasti ianya tidak membawa kepada makna lain selain daripada hadiah biasa.

Pertimbangan yang kedua penting ialah dengan melihat kepada kadar pemberian yang dihulurkan.

Antara asas hadiah ialah pemberian pada kadar yang munasabah dan bersesuaian dengan sempena yang berkaitan. Begitu juga latar belakang pemberi dan penerima hadiah perlu juga diambil kira. Secara dasarnya hadiah adalah berdasarkan dua pertimbangan. Pertama, latar belakang pemberi hadiah. Kedua, status atau latar belakang penerima rasuah.

Sekiranya orang yang memberikan hadiah itu seorang ahli perniagaan berstatus mega yang mempunyai kekayaan, maka pemberiannya juga mungkin besar, setaraf dengan statusnya seorang yang kaya.

Tetapi, sekiranya seorang yang hanya bergaji sederhana tetapi memberikan hadiah berharga berlipat kali ganda daripada pendapatannya, maka pastinya akan mencetuskan tanda tanya.

Oleh itu, kadar pemberian adalah suatu yang tidak mungkin dapat disembunyikan. Kerana orang memberi rasuah pastinya mahu menarik perhatian penerima dengan menawarkan kadar yang lumayan.

Di sinilah sepatutnya orang yang akan menerima suapan boleh berfikir dengan waras bahawa kadar yang dia akan terima adalah tidak masuk akal. Siapa yang akan memberikan kadar yang luar biasa kalau tiada udang di sebalik batu?

Sekiranya pertimbangan seperti ini dikaji oleh orang yang berkaitan, sudah tentu perbuatan rasuah susah untuk berlaku. Sewajarnyalah setiap orang yang kerjanya terdedah kepada perkara seperti ini jangan mudah hilang pertimbangan. Setiap pemberian mestilah dikaji terlebih dahulu.

Manakala asas pertimbangan yang ketiga ialah bagaimana sesuatu pemberian itu disampaikan. Biasanya hadiah disampaikan di khalayak ramai, secara terbuka dengan diperhatikan oleh semua orang. Tiada niat untuk disembunyikan daripada pengetahuan orang lain.

Segalanya berlaku tanpa mencetuskan apa-apa syak wasangka kepada orang lain. Moment pemberian hadiah biasanya saat berharga kepada penerima dan pemberi. Apatah lagi bila disampaikan di hadapan orang ramai. Pastinya satu kebanggaan apabila mendapat hadiah.

Tetapi, sekiranya pemberian itu disampaikan secara tertutup dan cuba menyorokkan daripada diketahui oleh orang, maka sudah pasti ada tujuan yang tidak benar. Ianya jelas lagi bersuluh kemungkinan besar ianya adalah satu bentuk sogokan ataupun rasuah.

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, penerima hadiah secara umumnya akan bergembira dan merasa bangga dengan hadiah yang diterima. Maknanya, tidak langsung akan merasa takut atau risaukan akibat daripada kesan hadiah yang diterima.

Tetapi, sebaliknya pula situasi yang dihadapi oleh orang yang menerima rasuah dan pemberi rasuah. Mereka akan dikejar bayang-bayang kesalahan dan dosa yang mereka lakukan.

Sentiasa akan merasa takut rahsia mereka terbongkar dan akan menerima akibat yang buruk. Apatah lagi bila mengingati sabda Rasulullah SAW: “Rasulullah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”. [Riwayat Ibnu Majah]

Tegasnya, sangat jauh beza antara hadiah dan rasuah. Pastikan kita dapat membezakannya. Hadiah adalah atas dasar kasih-sayang dan hubungan silaturrahum. Hadiah akan mengukuhkan lagi kasih-sayang antara pemberi dan penerima.

Tetapi, rasuah akan membinasakan hubungan antara keduanya. Rasuah diberikan kepada orang yang tidak layak, apatah lagi sebenarnya dia tidak berhak pun mendapatnya. Awas, hadiah boleh jadi rasuah jika silap pertimbangan kita.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 6938