Berita Terkini

CEIO Main Peranan Penting Bantu Organisasi Perangi Rasuah

Putrajaya, 29 Jun – Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) memainkan peranan penting pada masa kini dalam membantu organisasi melaksanakan usaha pencegahan rasuah dan penyelewengan melalui fungsian Unit Integriti yang telah ditubuhkan.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Junipah Wandi semasa menyampaikan kata aluan berkata CeIO merupakan ejen perubahan dalam mewujudkan iklim budaya kerja cemerlang yang menolak rasuah secara menyeluruh.


“Pegawai akreditasi CeIO perlu menjalankan tugas dengan cemerlang dan penuh berintegriti sebagai pemimpin contoh dan menjadi perhatian serta ikutan dalam organisasi.


“CeIO perlu berintegriti kerana ia merupakan elemen penting dalam pembentukan sahsiah, etika, imej dan jati diri jika dibudayakan dalam masyarakat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan negara,” ujar beliau.


Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (SUK Negeri Perak) Siri 27 Bil.2/2021 yang telah diadakan secara maya.


Program ini adalah anjuran Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).


Sementara itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad telah turut hadir merasmikan Majlis Perasmian Penutup program berkenaan.


Dato’ Saarani berkata program ini dapat memacu pelaksanaan segala perancangan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) dan kemudiannya Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di mana CeIO akan bertindak sebagai tumpuan (focal point) dalam melaksana program-program pemantapan integriti di agensi masing-masing.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.


Hit : 2535