Berita Menarik

SPRM tahan enam pegawai bank minta rasuah lulus pinjaman peribadi RM18 juta

SPRM telah menahan enam pegawai dan kakitangan sebuah bank kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon-pemohon pinjaman peribadi melibatkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 36 hingga 45 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 4.45 petang di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam, hari ini.

Menurut sumber, wang rasuah tersebut ialah sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan dari pemohon-pemohon yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman.

"Mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada sejumlah 110 pinjaman pembiayaan peribadi yang bernilai lebih kurang RM18 juta," kata sumber tersebut.

Sumber memberitahu, pegawai dan kakitangan tersebut bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan, SPRM juga telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek tersebut dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman.

Sumber : Sinar Harian


Hit : 2302