Kolumnis@SPRM

Mengadulah kepada SPRM bukan di media sosial


Oleh 

Sarfarizmal bin Saad

Bekas Pegawai Sektor Awam, Korporat & Komunikasi Strategik

BANYAK pihak sebelum ini begitu skeptikal dan menghentam kredibiliti, akauntabiliti dan keberhasilan kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM selaku badan anti rasuah negara ini.

Bermacam dakwaan, tuduhan dan tohmahan dilontarkan kepada badan berkenaan? Tali barut parti kerajaan, ‘budak suruhan kerajaan’, ejen parti kerajaan, seolah-olah tiada langsung kebaikan yang dilakukan SPRM.

Namun sikap Suruhanjaya itu wajar dipuji kerana tetap istiqamah dalam perjuangan melawan dan menghapuskan rasuah di negara kita. Usaha-usaha untuk membasmi rasuah terus dilakukan dengan sebaiknya sambil menutup telinga daripada kata-kata yang negatif yang boleh menggugat usaha mereka.

Tidak menghairankan jika kini, semakin terbit kesedaran terhadap usaha yang dilakukan oleh SPRM, terutamanya apabila terdapat banyak pesalah yang diseret dan dihukum di mahkamah kerana kegiatan rasuah atau penyelewengan, bukan hanya ikan bilis tetapi juga jerung-jerung yang dianggap sukar untuk ditangkap.

Semakin ramai pembenci rasuah atau pemakan dedak dalam kalangan masyarakat mulai tampil untuk meminta supaya Suruhanjaya menyiasat isu-isu yang dirasakan wujudnya penyelewengan termasuk dalam kes pengurusan dana urus jenazah dan juga kes tahanan mati ketika dalam jagaan polis.

Tidak berniat untuk menyentuh soal berkenaan, penulis sebaliknya menyatakan wujudnya penghargaan rakyat terhadap peranan SPRM.

Sebenarnya kejayaan yang diraih bukan hanya hasil usaha organisasi itu sahaja tetapi juga peranan yang dimainkan oleh banyak pihak termasuk orang ramai atau mereka yang mempunyai sikap dan rasa tanggungjawab untuk membanteras kegiatan yang bejat ini.

Orang ramai yang mengetahui tentang perihal rasuah atau merasakan wujudnya kegiatan sedemikian wajar melaporkan kepada SPRM dan bukan sembang atau membuat tuduhan dalam media sosial.

Bersembang sakan tentang sesuatu salah laku dalam dunia maya hanya akan menyebabkan pelaku atau pesalah bukan hanya sempat ‘angkat kaki’ untuk melarikan diri ke luar negara tetapi juga menghapuskan bahan bukti sebelum siasatan dimulakan, bahkan pihak berkuasa juga sukar untuk melindungi pemberi maklumat atau yang membuat aduan.

Tidak ramai yang menyedari bahawa pemberi maklumat dan juga saksi penyelewengan rasuah sebenarnya dilindungi oleh undang-undang sama ada maklumat diberikan secara lisan ataupun bertulis. Namun, mereka hanya dilindungi apabila mereka menggunakan saluran yang betul untuk mendedahkan salah laku.

Sehubungan itu, setiap ahli masyarakat harus bijak dalam membantu menangani penyelewengan yang berlaku. Bahkan menggunakan media sosial untuk menghukum atau mendedahkan sebarang salah laku bukan satu cara yang betul.
.
Tindakan melaporkannya tidak seharusnya bertujuan untuk menjatuhkan seseorang atau mencari populariti sebagai orang yang pertama mendedahkannya tetapi sebaliknya untuk melindungi pihak teraniaya dan kepentingan rakyat.

Mungkin ada yang masih tidak sedar bahawa sesiapa yang mengetahui atau pernah ditawarkan rasuah perlu membuat laporan kepada pihak yang berkuasa kerana mereka boleh dikenakan tindakan jika gagal melaporkannya.

Pada masa sama, masyarakat juga perlu sedar, seseorang itu hanya didapati bersalah jika terdapat bukti yang jelas dan nyata. Di antara kesukaran pihak berkuasa termasuk SPRM adalah mendapatkan beban bukti dengan pantas untuk membolehkan pendakwaan dilakukan secepat mungkin dan semua pihak mendapat keadilan yang sepatutnya.

Sehubungan itu, semua pihak perlu membantu dengan menggunakan saluran yang betul untuk menjayakan membasmi rasuah dan penyelewengan.

Jangan pula kita terlalu ghairah menggunakan media atau media sosial untuk mendedahkan amalan rasuah ini. Kenapa perlu menyukarkan keadaan apabila ia boleh mempermudah dan hasilnya lebih baik.

Biarpun kita hanya mempunyai bukti yang sedikit tetapi benar. Ia sekurang-kurangnya membantu pihak berkuasa seperti SPRM membuka jalan untuk mengheret pesalah ke muka keadilan.

Justeru marilah kita menjadi mata dan telinga SPRM membebaskan negara ini bebas daripada najis dadah yang merupakan satu dosa besar.

Sumber : Bebas News

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 423