Berita Menarik

Sogok ASP RM120,000 elak tindakan miliki dadah

Tindakan seorang juruteknik pendingin hawa menyogok pegawai kanan polis sebanyak RM120,000 membawa padah apabila ditahan di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, dekat sini semalam.

Suspek lelaki berusia 36 tahun dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pukul 9.25 malam.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan itu terdahulu telah ditawarkan wang tunai RM100,000 oleh rakan suspek.

Katanya, dorongan itu bagi melepaskan rakan suspek berkenaan daripada dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya atas kesalahan memiliki dadah.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya disabitkan kesalahan.

“Wang tersebut kemudiannya diberikan oleh suspek tersebut sebanyak RM120,000, kira-kira 10 minit sebelum ditangkap pada hari yang sama,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Terdahulu, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan SPRM Selangor.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. 

Sumber : Kosmo

Hit : 2391