Kolumnis@SPRM

Ciri-ciri Pemimpin Baik: Kualiti, Keberanian dan Integriti


Oleh :

Datuk Seri Akhbar Satar

Pengerusi

Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia



Baru-baru ini, dua jawatan iaitu Ketua Polis Negara (KPN) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjadi tumpuan. Kedua-dua kedudukan ini datang dengan tanggungjawab, harapan, tekanan dan antara tugas yang amat berat dalam kalangan penjawat awam. Malah, jawatan ini dianggap amat mencabar pada setiap masa walaupun tidak popular namun sungguh berkuasa.

 

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani secara rasmi dilantik sebagai KPN baru pada 5 Mei 2021. Beliau menjadi KPN ke-13, mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang berkhidmat sejak Mei 2019.

 

Pasukan polis bertugas menjaga undang-undang, ketenteraman, menyelamatkan dan melindungi nyawa serta harta benda kita. Mereka mengorbankan kehidupan demi melaksanakan tugas untuk orang ramai. Adakalanya kita lihat apa yang mereka lakukan tidak dihargai dan hanya sedikit yang memuji. Sedangkan, ada diantara mereka yang bekerja tanpa mengenal erti lelah.

 

Baru-baru ini bekas KPN iaitu Tan Sri Abdul Hamid Bador menimbulkan keraguan mengenai peranan dan kebebasan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri. Beliau mendakwa bahawa SPP dan Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai hak untuk mengelola pasukan polis dan menjadi tanggungjawab KPN untuk melantik jawatan-jawatan kanan dalam organisasinya.

 

Mantan KPN Tun Hanif Omar juga mempertimbangkan hal ini, dengan menyatakan bahawa Akta Polis memberikan KPN satu-satunya kuasa untuk "memerintah dan mengawal" pasukan tersebut.

 

Justeru itu, masa depan pasukan polis akan bergantung pada strategi yang diambil oleh KPN baru. Sebagai permulaan, beliau telah mengenal pasti 3 bidang fokus untuk memperkasakan PDRM, iaitu untuk mengukuhkan integriti dalaman, memperkuat sistem penyampaian perkhidmatan dan menjaga kesejahteraan masyarakat.

 

Kita menyambut baik apabila integriti menjadi perhatian KPN baharu. Berdasarkan cabaran yang ada sekarang, beliau menghadapi tugas yang sukar dalam mengangkat integriti sebagai budaya dalam PDRM. KPN perlu melangkaui program dan latihan dalam perkhidmatan sedia ada.

 

Maka, bagi memperoleh kepercayaan orang ramai, Acryl Sani harus meneruskan legasi KPN sebelumnya untuk membersihkan amalan rasuah dan berusaha secara agresif untuk menyingkirkan unsur-unsur ‘halus’ yang menghasut mereka menyalahgunakan kuasa sekaligus akan merosakkan reputasi jabatan.

 

Pasukan polis harus menghadapi realiti bahawa perlu disingkirkan pegawainya yang bagai kerbau membawa lumpur, yang akhirnya semua terpalit akan kotoran itu. Realiti ini berdasarkan hasil penangkapan pegawai polis serta pelbagai tinjauan yang dilakukan terhadap pasukan polis. Sebagai contoh, hasil Transparency International General Corruption Barometer 2020 menunjukkan bahawa pasukan polis dianggap sebagai salah satu institusi yang paling korup.

 

PDRM mempunyai ramai pemimpin berkebolehan yang bekerja tanpa lelah untuk membersihkan pasukan itu dan menyingkirkan anggota polis di setiap peringkat yang telah menyalahgunakan kuasa atau merosakkan imej pasukan tersebut. Kerajaan harus memberi sokongan penuh terhadap usaha mereka untuk memperkasakan integriti dalam pasukan. Pada masa yang sama terus membanteras kartel perniagaan dan jenayah terancang di negara ini. Usaha PDRM perlu diiringi sokongan daripada SPP bagi mengenal pasti dan mengenali pemimpin yang baik dalam organisasinya agar matlamat ini tercapai. Seorang pemimpin yang baik mempunyai tiga kriteria khusus iaitu:

 

• Kualiti – Kualiti dan prestasi seseorang dapat dinilai melalui pengalaman dan profesionalisme seseorang dalam menjalankan tugas

• Keberanian – tidak takut menegakkan kebenaran walaupun diarahkan untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang

• Integriti – mempunyai sifat beretika yang teguh dan dikenali dengan sifatnya yang tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang bagi kepentingan peribadi.

 

Malangnya, dua kriteria terakhir nampaknya kurang dimiliki oleh kebanyakan pemimpin hari ini. Tanpa integriti, semua perkara yang dilakukan oleh jabatan itu akan dianggap cacat dan merugikan anggota pasukan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

 

Melangkah ke hadapan, agar pasukan polis memperoleh kembali keyakinan masyarakat, setiap pegawai perlu terus bekerja secara profesional, dan yang lebih penting, masing-masing mesti melaksanakan tugasnya tanpa kompromi terhadap integriti. Asingkan politik daripada polis dan pastikan tidak ada pengaruh politik dalam kepimpinan. Hal ini akan dianggap sebagai langkah terpuji dan kekuatan untuk mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat.

 

KPN perlu melaksanakan kepemimpinannya dengan menjadi suri teladan, lebih-lebih lagi sebagai pegawai polis tertinggi di negera ini. Beliau mesti 'lebih putih daripada putih' dan komited untuk mengenali integriti pegawainya, mengawasi mereka dan melatih mereka dengan lebih baik.

 

Seterusnya, meningkatkan standard kepolisian, profesionalisme, memperkukuhkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO), meninjau program reformasi dan sistem kenaikan pangkat serta membina rasa hormat orang ramai terhadap pasukan penegak undang-undang ini.

 

Pengalaman Acryle Sani selama 35 tahun dalam pasukan dan telah memegang pelbagai jawatan sebagai pegawai kanan dapat dimanfaatkan dengan baik terutamanya dari segi pengukuhan pasukan polis dan peningkatan integriti di semua peringkat.

 

SPP juga harus dirombak agar strukturnya lebih mantap seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Bukan hanya sekadar menjadi rubber stamp semata-mata.

 

PDRM perlu bebas dan tidak membenarkan campur tangan politik terutamanya dalam pelantikan pengarah baharu di Bukit Aman, membanteras kartel perniagaan dan jenayah terancang serta memerangi rasuah dalaman secara berterusan.

 

Perkara-perkara ini adalah persoalan yang perlu dijawab oleh KPN. Strategi dan tindakannya akan memberi gambaran yang jelas terhadap masa depan PDRM.

 

Rakyat ingin berbangga dengan pasukan polis mereka. Sebuah pasukan yang menjalankan tugasnya dengan tekun demi menjaga ketenteraman dan ketertiban awam serta melindungi negara dengan tahap integriti tertinggi. Marilah sama-sama kita merealisasikan hasrat ini.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 6808