Berita Terkini

Usahasama SPRM & KPDNHEP Perkasa Tadbir Urus Dalam Pengurusan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak

PUTRAJAYA, 5 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan sebanyak tujuh (7) cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan dilakukan oleh Bahagian Pemeriksaan Dan Perundingan (BPMP) SPRM kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui sesi khidmat nasihat bagi menambahbaik amalan, sistem dan tatacara kerja Pengurusan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (Cooking Oil Stabilization Scheme - COSS).

Sesi khidmat nasihat tersebut telah membentangkan penemuan dan cadangan penambahbaikan berhubung tatacara perolehan terlibat kepada Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad yang dilaksanakan secara maya di pejabat KPDNHEP, hari ini.

KPDNHEP menyambut baik cadangan-cadangan daripada SPRM dan menzahirkan persetujuan dengan menandatangani Laporan Khidmat Nasihat bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang juga dihadiri oleh Pengarah BPMP SPRM, KPKPj Nazli Rasyid Sulong.

Usaha ini bertepatan dengan Seksyen 7 (c) dan (e) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan fungsi SPRM dalam memastikan amalan, sistem dan tatacara kerja sesebuah badan awam tidak membuka ruang dan peluang kepada rasuah.

SPRM juga bersedia untuk membantu KPDNHEP dalam usaha terhadap amalan, sistem dan tatacara untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Kerjasama ini diharapkan dapat memantapkan usaha-usaha dan tindakan pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dalam organisasi di samping meningkatkan pengukuhan integriti secara konsisten dan berterusan.


Hit : 2653