Berita Terkini

Memperkasakan tadbir urus dana kerajaan

PUTRAJAYA, 4 Mei – Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) telah mengemukakan beberapa pandangan dan cadangan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk penambahbaikan berkaitan pemantauan kelulusan dan pembayaran perolehan Kerajaan terutamanya projek secara rundingan terus dalam memastikan tiada ketirisan dana kerajaan berlaku. 


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mencadangkan supaya MOF mengeluarkan arahan berkaitan pengisytiharan kepentingan kepada syarikat yang menyertai perolehan Kerajaan terlebih dahulu, sebelum penguatkuasaan undang-undang berkaitan Beneficial Ownership (BO) dapat dilaksanakan.

Selain itu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Dato’ Nika Ujang turut membangkitkan isu peruntukan tahunan kepada SPRM supaya ditambah terutamanya untuk tujuan operasi dan program-program pencegahan bagi mempergiat dan memperkasakan usaha pencegahan rasuah di negara ini.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Perjumpaan bersama Menteri Kewangan Malaysia YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kementerian Kewangan Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Dato' Junipah Wandi dan Ahli-Ahli LPPR.


Hit : 527