Berita Menarik

Tiga termasuk inspektor ditahan SPRM

Tiga termasuk seorang inspektor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di Pasir Mas pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung kesalahan meminta dan menerima rasuah membabitkan nilaian RM4,000.

Pegawai polis berusia 37 tahun itu ditahan di rumahnya pada jam 1 pagi, manakala dua lelaki berusia 20-an dan 40-an ditahan di sebuah rumah pada jam 5.30 petang, Isnin.

Menurut sumber, pegawai polis itu dipercayai meminta dan menerima suapan berjumlah RM4,000 daripada dua lelaki berkenaan.

“Perlakuan meminta dan menerima rasuah itu dilakukan bagi melepaskan kenderaan yang ada hubungan dengan siasatan pasukan polis.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi mendapatkan perintah reman,” katanya.

Sumber itu berkata, pegawai polis berkenaan dikenakan perintah reman selama enam hari sehingga Ahad, manakala dua lelaki masing-masing lima hari sehingga Sabtu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan berhubung penahanan itu.

“Siasatan lanjut dijalankan oleh pihak SPRM Kelantan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima suapan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian


Hit : 2252