Berita Menarik

Bagi seringgit pun tetap rasuah

Seorang pengarah syarikat pembekalan komponen elektronik diberikan teguran keras oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam bahawa pemberian wang untuk tujuan tertentu walaupun RM1 adalah rasuah sebelum dijatuhi penjara 30 hari dan denda RM30,000, hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ang Boon Chin, 60, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memberikan suapan RM10,000 menceroboh tanah rizab sungai, tiga minggu lalu.

Bon Chin juga diperintahkan menjalani tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu. Selain itu, sejumlah RM10,000 yang merupakan barang kes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk pelupusan hak.

Rozilah dalam penghakimannya mengulangi sebanyak tiga kali supaya tertuduh tidak melakukan perbuatannya sekali lagi.

“Kamu telah berusia 60 tahun dan hanya tahu rasuah salah selepas ditangkap. Walaupun RM1 (untuk rasuah) salah, ini pula RM10,000. Jadi, jangan ulangi lagi,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Boon Chin didakwa telah memberi suapan wang tunai RM10,000 kepada seorang penolong pegawai daerah dan tanah Klang sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kilangnya, Gallex Enterprise (M) Sdn. Bhd.

Ini berikutan syarikat tersebut sedang disiasat atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan di Lot 85096, Jalan Lengkuk Selatan, Taman Perindustrian Pandamaran di sini di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara. Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 23 Mac lalu.

Justeru, Boon Chin boleh dipenjara sehingga 15 bulan atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab memohon hukuman setimpal berikutan kesalahan tertuduh adalah serius kerana menceroboh tanah rizab sungai yang boleh menyebabkan pencemaran.

“Tertuduh juga telah membawa sampul berisi RM10,000 untuk merasuah pegawai yang terlibat akan tidak mengambil tindakan kepadanya ketika diminta hadir memberikan keterangan,” katanya.

Peguam Lo Mei Na mewakili tertuduh memohon hukuman ringan susulan anak guamnya mempunyai penyakit jantung dan telah memberikan kerjasama kepada SPRM.

Kosmo! pada 6 April lalu melaporkan sambutan hari jadi ke-60 pastinya menjadi kenangan tidak dilupakan seorang pengarah syarikat pembekalan komponen elektronik apabila mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menceroboh tanah rizab sungai.

Sumber : Kosmo

Hit : 1913