Berita Menarik

Didenda RM12,500 tipu kerja lebih masa

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penolong pegawai di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan mengemukakan tuntutan bekerja lebih masa palsu, enam tahun lalu.

Bagi setiap tuduhan, Hakim Rozina Ayob mengenakan denda RM2,500 terhadap Mohd. Johan Fazlan Sa’don dan memerintahkan tertuduh dipenjara 15 bulan sekiranya denda gagal dibayar. Tertuduh membayar denda itu.

Tertuduh, 43, mengaku bersalah terhadap kelima-lima tuduhan mengemukakan beberapa set dokumen palsu iaitu Penyata Tuntutan Bekerja Lebih Masa berjumlah RM3,352.06.

Tuntutan palsu itu bagi kerja-kerja lebih masa di Bilik Gerakan CPRC di Bahagian Kawalan Penyakit, bagi bulan Mei hingga September 2015, sedangkan tugasan itu tidak dilaksanakan.

Tertuduh yang ketika itu berjawatan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U32, Bahagian Kawalan Penyakit didakwa melakukan perbuatan itu Pejabat Unit Gaji, Bahagian Khidmat Pengurusan, KKM, Putrajaya antara Jun hingga Oktober 2015.

Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd. Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Nur Fazrin Ahmad.

Sumber : Utusan Online


Hit : 2165