Berita Menarik

Seleweng RM3.1 juta, tujuh kakitangan JPJ ditahan

Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) membabitkan lebih 1,000 jenis kenderaan.

Menurut sumber, mereka terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita yang berusia antara 27 hingga 42 tahun.

Kesemua kakitangan yang ditahan berkenaan dipercayai bertugas di JPJ Johor.

"Mereka dipercayai memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019," kata sumber berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi proses reman dan kes siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Siasatan ini bermula hasil makluman dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

"SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ agar langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan sebagai langkah mengelakkan kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

"Perkara ini dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah," katanya.

Beliau meminta, mana-mana pihak atau agensi untuk memberi maklumat kepada SPRM seperti yang dilakukan oleh Ketua Pengarah JPJ.

"Masyarakat yang berurusan di kaunter jabatan perlu ambil peduli dan sentiasa memeriksa resit selepas melakukan urusan di kaunter ataupun ejen yang dilantik," katanya.

Sumber : Harian Metro

Hit : 2700