SPRM Menyertai Mesyuarat APEC ACTNET Ke 8
Putrajaya, 18 Feb. - Mesyuarat APEC Network of Anti-Corruption Authorities and Law Enforcements Agencies (ACT-NET) kali ke 8 telah diadakan secara maya di Bilik Mesyuarat Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Korporat dan Strategi, Graham Gill dari Serious Fraud Office (SFO), New Zealand.
Mesyuarat ini disertai oleh 18 negara anggota APEC iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Republik Filipina, Rusia, Singapura, China Taipei, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Graham Gill menyambut baik usaha SPRM dalam memerangi jenayah rasuah dan telah mengucapkan tahniah kepada SPRM yang telah jayanya menganjurkan Mesyuarat ACT NET ke 7 pada Oktober lepas.
Di dalam mesyuarat tersebut, SPRM telah membentangkan usaha memperkenalkan inisiatif pencegahan rasuah yang telah disyorkan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan melalui kertas pemeriksaan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan kegiatan mengeksport bauksit di Pahang.
Turut dikongsikan juga kejayaan Bahagian Siasatan SPRM menerusi Ops Selat di mana SPRM telah menahan dan mendakwa beberapa pegawai Imigresen yang terlibat dengan rasuah.
Antara kertas pembentangan yang dibentangkan oleh negara ekonomi lain ialah Australia dengan memperkenalkan inisiatif sektor awam dan swasta mengenai Jalinan Pencegahan Rasuah (Bribery Prevention Netwok) dan United Kingdom Cabinet Office yang membentangkan mengenai langkah-langkah pencegahan rasuah dalam fasa vaksinasi Covid-19.
Wakil SPRM dalam mesyuarat ini adalah Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar.