Berita Menarik

SPRM tumpaskan sindiket jual setem hasil kerajaan dan pelekat PLKS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang mengakibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta.
Ini berikutan penahanan tujuh ahli sindiket berusia antara 30 hingga 39 tahun yang terdiri daripada empat kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam, semalam.
Ia juga berdasarkan risikan ke atas sindiket ini yang berjalan lebih enam bulan hasil kerjasama SPRM dan Jabatan Imigresen.
Sumber berkata, dalam operasi secara besar-besaran di sekitar ibu negara itu, sejumlah 2,500 keping setem hasil kerajaan keseluruhannya bernilai RM12.5 juta dirampas.
Katanya, setem bernilai RM250 dijual di pasaran gelap dengan nilai RM40 hingga RM60 manakala setem hasil bernilai RM10 dijual dengan harga RM5 hingga RM6.
"Setem hasil ini selalu digunakan oleh orang ramai sebagai bayaran duti setem bagi suatu perjanjian jual beli dan kebiasaannya dibeli di pejabat POS dan cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Selain itu, sindiket ini juga menjual PLKS yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi kegunaan Jabatan Imigresen. Ia dijual kepada warga asing di pasaran gelap dengan nilai RM700 hingga RM800 sekeping.
"Bayaran sebenar bagi mendapatkan PLKS adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 sekeping yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen mengikut sektor pekerjaan yang dimohon," kata sumber.
Sumber berkata, modus operandi sindiket ialah bayaran rasuah kepada kakitangan percetakan untuk mencuri keluar setem hasil dan pelekat PLKS dari stor simpanan percetakan dan menjualnya di pasaran gelap melalui tiga orang awam yang lain.
"Sindiket ini dipercayai melakukan aktiviti mereka sejak tiga tahun dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit," kata sumber.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009," katanya.
Beliau berkata, SPRM memandang serius isu itu kerana ia membabitkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan
Sumber : Berita Online
Hit : 2170