Pertanyaan Umum

Apakah SPRM dan bagaimanakah SPRM ditubuhkan?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM adalah sebuah badan tunggal dan bebas yang mengendalikan kes-kes yang berkaitan dengan rasuah serta merupakan tunggak utama dalam inisiatif anti-rasuah di Malaysia. SPRM telah ditubuhkan pada Januari 2009, menggantikan agensi sebelumnya - Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengikut akta yang baru digubal iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Peranan SPRM adalah untuk membasmi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di Malaysia dengan fungsi yang berdasarkan kepada prinsip Bebas, Telus dan Profesional dalam melaksanakan tugasnya.

Apakah itu rasuah?

Secara umumnya, rasuah merupakan suatu perbuatan sama ada memberi atau menerima sesuatu suapan yang berbentuk wang tunai atau barangan berharga sebagai upah bagi melakukan suatu perbuatan yang mempunyai kaitan dengan bidang tugas seseorang itu. Sebagai contoh, seorang kontraktor memberikan hadiah berbentuk jam tangan berharga kepada seorang pegawai Kerajaan bagi meluluskan projek kepada syarikatnya.

Jenis-jenis kesalahan rasuah mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009?

Berdasarkan ASPRM 2009 (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:

  1. Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) ASPRM 2009]
  2. Memberi suapan [seksyen 17(b) ASPRM 2009]
  3. Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009]
  4. Salah guna kuasa [Seksyen 23 ASPRM 2009]
Apakah kesalahan Meminta/Menerima rasuah? Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) ASPRM 2009]

Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima satu suapan sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perkara. CONTOH: Baharudin bin Ahmad (YDP Majlis Perbandaran Kangar) dituduh meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor berkaitan projek pembangunan perumahan di Padang Besar, Perlis seluas lebih kurang 10 ekar. Sebagai balasan, beliau menjanjikan proses kelulusan dan bantuan dalam kelicinan perjalanan projek tersebut.
Rasuah berupa wang tunai sebanyak RM30,000.00, cek tunai bernilai RM30,000.00, dan satu golf set jenis ”Mizuno” berharga RM2,500.00 yang diterima daripada kontraktor. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 4 tahun dan denda berjumlah RM1.925 juta

Apakah kesalahan Memberi suapan?

Mana-mana orang secara rasuah menawar/memberi satu suapan kepada pegawai awam sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perkara berkaitan hal ehwal pegawai awam tersebut. CONTOH: Sibu - Seorang kontraktor dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan denda RM25,000 kerana memberi rasuah berjumlah RM1,500 kepada Pegawai Pengurusan Perhutanan, Sandum Hitam. Rasuah itu diberi supaya Sandum mempercepatkan proses permohonan “Permit To Enter Coupe”. Kesalahan dilakukan di pejabat Perhutanan Kawasan Daerah Sibu.

Apakah kesalahan mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009]

Mana-mana orang mengemukakan dokumen tuntutan (resit, invoice) yang mempunyai butiran matan palsu dengan niat untuk memperdayakan prinsipal (pejabatnya). CONTOH: SHAH ALAM - Bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Md. Saberi Md. Salleh dihukum penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di atas tuduhan memperakui invois pembekalan peralatan sukan palsu bernilai RM138,600 pada sekitar tahun 1999. Md. Saberi didakwa membuat perakuan penerimaan barangan bertarikh 24 Mac 1999 dengan memperakui bahawa Multi Joint 2 AP berharga RM138,600 telah diterima dalam keadaan memuaskan sedangkan ianya tidak dibekalkan. Hakim turut menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pemilik syarikat pembekal peralatan sukan, Zaleha Abdul Rahman, 48, atas kesalahan bersubahat mengeluarkan invois tersebut.

Apakah kesalahan Salah guna kuasa [Seksyen 23 ASPRM 2009]

Pegawai Badan Awam atau anggota Pentadbiran kerajaan menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan sesuatu perkara di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan.

Apakah hukuman bagi kesalahan rasuah?

Secara umumnya, hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. CONTOH: Jika A menerima rasuah sebanyak RM5,000. Maka hukumannya penjara dan dendan sebanyak RM25,000 (RM5,000 x 5). Jika B menerima rasuah sebanyak RM1,000. Maka hukumannya adalah penjara dan denda RM10,000 (Ini kerana RM1,000 x 5 hanya bersamaan RM5,000. Oleh itu, diambil nilai RM10,000 iaitu nilai minimum bagi denda)

Adakah suapan rasuah hanya berbentuk wang sahaja?

Suapan rasuah boleh jadi dalam bentuk wang tunai, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan (seperti seks), jawatan, upah, diskaun, pinjaman dan sebagainya.

Di dalam pemilihan melalui tender, adalah jelas tentang peraturan pengisytiharan dan keluar daripada mesyuarat pemilihan jika seseorang pegawai yang terlibat itu mempunyai kepentingan. Bagaimana pula dengan masalah pemilihan melalui proses sebutharga?

Di dalam pemilihan melalui sebutharga, peraturan-peraturan seperti dalam pemilihan tender juga perlu dipatuhi. Sekiranya seseorang pegawai itu mengetahui bahawa ada sebutharga yang dikemukakan kepadanya adalah terdiri dari orang yang mempunyai kepentingan dengannya, maka hendaklah beliau mengisytiharkan diri dan membiarkan keputusan pemilihan dilakukan oleh orang lain.

Apakah punca utama penjawat awam mengambil rasuah? Adakah disebabkan gaji yang kecil atau sebaliknya.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sememangnya ada menjalankan kajian terhadap perlakuan rasuah di kalangan penjawat awam. Kajian mendapati punca pendapatan atau penetapan tangga gaji yang kecil dan rendah bukannya punca utama atau satu-satunya punca mengapa penjawat awam mengambil rasuah. Di antara punca utama yang menyebabkan berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam adalah kecenderungan mereka untuk:-

  1. mempunyai gaya hidup di luar kemampuan
  2. sikap tamak dan haloba
  3. wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan rasuah
  4. tahap integriti yang rendah di kalangan pegawai terbabit
Hit : 210816