Penarafan Risiko Rasuah Organisasi dan Struktur Unit Integriti (UI) / Unit Integriti & Governans (IGU)

Penarafan Risiko Organisasi dan Struktur Unit Integriti (UI) / Unit Integriti dan Governans (IGU)

Agensi Awam
  • Penarafan Risiko ke atas Agensi Awam

    Penarafan risiko organisasi ke atas Agensi Awam telah dilaksanakan julung kali pada tahun 2013 melalui peruntukan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 2013 (P.P. Bil. 6 Tahun 2013) dan pelaksanaannya adalah usaha sama antara Bahagian Pembangunan Organisasi (BPO), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan BPIA, SPRM. Penarafan risiko tahun 2013 dilaksanakan ke atas 887 buah agensi awam. Pelaksanaan penarafan ini bertujuan bagi menetapkan struktur Unit Integriti (UI) yang bersesuaian.

    Pada tahun 2020, penarafan semula risiko ke atas agensi awam dilaksanakan sepenuhnya oleh BPIA, SPRM dan justeru itu mekanisme pengukuran dan mekanisme pengiraan yang digunakan adalah berbeza daripada Penarafan Risiko Tahun 2013. Penarafan semula risiko dilaksanakan ke atas 968 buah agensi awam termasuk agensi di bawah Kerajaan Negeri.

    Taraf risiko dikelaskan kepada tinggi, sederhana atau rendah. Risiko dalam konteks penarafan ini merangkumi faktor ancaman (threat) bagi kesalahan rasuah dan faktor kemudahterancaman (vulnerability) iaitu kecenderungan berlakunya kesalahan rasuah berdasarkan kepada ciri-ciri agensi. Penentuan struktur UI berdasarkan taraf risiko yang dikenal pasti adalah penting bagi melancarkan pelaksanaan aktiviti dan program pencegahan rasuah di bawah UI.

  • Struktur Unit Integriti Agensi Awam

    Cadangan struktur dan perjawatan Unit Integriti diwujudkan oleh Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) berdasarkan penarafan risiko rasuah agensi dan dasar perjawatan semasa.

    Bagi agensi bertaraf risiko “tinggi”, struktur Unit Integritinya adalah mengikut sepertimana model A, Model B untuk agensi bertaraf risiko “sederhana” manakala model C adalah bagi agensi bertaraf risiko “rendah”.

    Bagi Unit Integriti model A, jumlah perjawatan minimum adalah 22 orang termasuk 2 orang pegawai SPRM yang ditempatkan secara kader terdiri daripada seorang pegawai bergred JUSA C atau P54 sebagai Ketua Unit dan seorang pegawai bergred P44. Bagi Unit Integriti model B pula, jumlah perjawatan minimum adalah 15 orang termasuk seorang pegawai SPRM bergred P44. Ketua Unit bagi model B ialah pegawai dari agensi bergred 52. Bagi Unit Integriti model C pula, jumlah perjawatan minimum adalah 7 orang yang diketuai oleh seorang pegawai agensi bergred 48. Tiada pegawai SPRM dipinjamkan untuk Unit Integriti model C. Perjawatan Ketua Unit Integriti di agensi memerlukan kelayakan Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Integrity Officer/CeIO) atau lain-lain kelayakan sepertimana diiktiraf oleh Lembaga Pentauliahan Pegawai Integriti yang diurusetiakan oleh SPRM.

Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK)
  • Penarafan Risiko ke atas Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK)

    Penarafan risiko organisasi ke atas Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dilaksanakan oleh SPRM seperti mana yang diperuntukkan melalui Arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2018 berhubung Penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU) Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat-syarikat Yang Dimiliki Oleh Kementerian dan Agensi Kerajaan Termasuk di Bawah Kerajaan Negeri. Pelaksanaan penarafan ini bertujuan bagi menetapkan struktur IGU yang bersesuaian.

    Taraf risiko dikelaskan kepada tinggi, sederhana atau rendah. Risiko dalam konteks penarafan ini merangkumi faktor ancaman (threat) bagi kesalahan rasuah dan faktor kemudahterancaman (vulnerability) iaitu kecenderungan berlakunya kesalahan rasuah berdasarkan kepada ciri-ciri syarikat.

    Kajian penarafan risiko organisasi julung kali dilaksanakan pada tahun 2019 dan penarafan semula akan dilaksanakan setiap tiga tahun atau mengikut keperluan. Penentuan struktur IGU berdasarkan taraf risiko yang dikenal pasti adalah penting bagi melancarkan pelaksanaan aktiviti dan program pencegahan rasuah di bawah IGU.

  • Struktur Unit Integriti dan Governans SBK

    Merujuk kepada perkara 8 dalam Arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2018 organisasi yang dikelaskan sebagai berisiko tinggi adalah disyorkan jawatan Ketua Pegawai Integriti dan Governans/ Chief Integrity and Governance Officer (CIGO) atau Pegawai Integriti dan Governans/ Integrity and Governance Officer (IGO) diisi oleh skim Pegawai Siasatan SPRM atas kelulusan Pengurusan Tertinggi SPRM. Manakala bagi yang berisiko sederhana dan rendah, jawatan berkenaan diisi oleh pegawai organisasi berkenaan.

    Walau bagaimanapun, tiada cadangan model struktur IGU dibangunkan untuk SBK kerana setiap syarikat mempunyai pengurusan dan ciri-ciri organisasi yang berbeza.

Untuk pertanyaan lanjut, pegawai yang boleh dihubungi adalah seperti berikut:

Bil. Nama  No. Telefon  Emel (@sprm.gov.my)
 1. PPj. Wan Ahmad Nidzam bin Wan Omar
03-8891 1516 nidzam
 2. PsK Raihana binti Rahim
03-8891 1703
raihana
 3. Ps. Mohd Akmal bin Ahmad 03-8891 1688
akmalm


Hit : 3577
 
Perkhidmatan Pengurusan Integriti Agensi