Pejabat Tanah & Galian Negeri Selangor - Pemberimilikan Permohonan Berkelompok Tanah Kerajaan di Kampung Sungai Yu, Mukim Hujung Permatang, Daerah Kuala Selangor [ 07 Jul 2020 ]

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) mempersetujui lima cadangan penambahbaikan yang disyorkan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) SPRM berhubung Pemberimilikan Permohonan Berkelompok Tanah Kerajaan di Kampung Sungai Yu, Mukim Hujung Permatang, Daerah Kuala Selangor.

Pengarah PTGS Yusri Zakariah telah mempersetujui kesemua syor penambahbaikan tanpa sebarang pindaan dan memberikan komitmen untuk melaksanakan serta menggunapakai syor-syor tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor.

Pengarah BPMP SPRM Nazli Rasyid Hj Sulong bersama Yusri telah menandatangani Laporan Khidmat Nasihat sebagai tanda persetujuan terhadap kesemua syor penambahbaikan yang dicadangkan oleh BPMP SPRM.

Terdahulu, Sesi Khidmat Nasihat ini telah dibentangkan oleh Timbalan Pengarah III BPMP Zuridah Mamat di Pejabat PDT Kuala Selangor pada 7 Julai 2020.

Beliau berkata, BPMP SPRM akan melaksanakan pemantauan ke atas cadangan yang diberikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Antara syor penambahbaikan yang dicadangkan adalah:

1. Mewujudkan satu Standard Operating Procedure (SOP) yang menjelaskan kriteria pelantikan sebagai ahli jawatankuasa dan juga skop tugas sebagai garis panduan dalam menjalankan tugas sebagai ahli jawatankuasa;

2. Keahlian Jawatankuasa Temuduga dan Jawatankuasa Bantahan mestilah terdiri daripada orang yang berlainan supaya keputusan lebih telus;

3. Pentadbir Tanah hendaklah mengeluarkan surat pelantikan kepada semua ahli jawatankuasa yang dilantik dengan menyatakan secara jelas dan terperinci peranan serta skop tugas ahli jawatankuasa agar lebih telus;

4. Memasukkan syarat wajib kepada ahli jawatankuasa supaya mengisytiharkan kepentingan peribadi masing-masing melalui Borang Integrity Pact semasa mesyuarat diadakan bagi memastikan keputusan mesyuarat adalah telus dan tidak berlaku conflict of interest dalam membuat keputusan. Ahli yang mempunyai kepentingan peribadi hendaklah meninggalkan mesyuarat dan dicatatkan dalam minit mesyuarat; dan

5. Mewujudkan SOP sebagai garis panduan pelaksanaan yang lengkap dan sistematik bagi proses permohonan pemberimilikan tanah kerajaan secara berkelompok untuk digunapakai oleh setiap Pejabat Daerah Dan Tanah Negeri Selangor dengan menyatakan syarat-syarat kelayakan pemberimilikan tanah kerajaan.

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |