Mesyuarat Meja Bulat Sistem Integriti Korporat Malaysia Siri 37 Bil. 1 Tahun 2020 [ 11 Aug 2020 ]

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil telah mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Sistem Integriti Korporat Malaysia Siri 37 Bil. 1 Tahun 2020 di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2020.

Turut hadir adalah Anggota Meja Bulat CISM yang terdiri daripada Institut Integriti Malaysia (IIM), Transparency International Malaysia (TI-M), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) SPRM Nazli Rasyid Hj. Sulong, Timbalan Pengarah 1 BPMP SPRM Salwa Muharam dan pegawai-pegawai Cawangan A BPMP SPRM selaku Sekretariat CISM.

Mesyuarat Meja Bulat Sistem Integriti Korporat Malaysia merupakan satu platform yang diwujudkan bagi membincangkan isu, peranan serta komitmen setiap ahli dalam mempertingkatkan usaha memupuk sekaligus menggalakkan nilai-nilai beretika dan bebas rasuah serta menyokong inisiatif-inisiatif integriti dalam komuniti perniagaan di negara ini. Selain itu, ianya juga bagi memastikan nilai integriti, etika dan tanggungjawab perniagaan dipertingkatkan di bawah pelan anti-rasuah negara, garis panduan serta amalan baik industri yang berkenaan.

Ahli Meja Bulat terdiri daripada SPRM selaku Penjaga (Custodian); dua agensi yang berfungsi selaku Pelaksana (Implementer) iaitu IIM dan TI-M; serta 4 agensi lain yang berfungsi selaku Promoter iaitu GIACC, Bursa Malaysia, SSM dan SC.

Melalui platform Meja Bulat CISM ini, komitmen berterusan daripada anggota dan peranan sebagai Promoter dan Implementer dapat dipertingkatkan bagi memastikan usaha kolaborasi memerangi rasuah terutamanya melibatkan pemegang taruh (stakeholders) disebarluas di peringkat sektor swasta.

SPRM akan mengekalkan peranan sebagai Custodian dan Penjaga Sistem CISM yang berfungsi sebagai pusat rujukan status pelaksanaan inisiatif-inisiatif CISM oleh penandatangan CIP v2.0.

Di akhir sesi mesyuarat, telah diadakan sesi simbolik penyerahan Peranan Pengerusi dan Sekretariat CISM oleh Dato’ Sri Shamshun Baharin kepada Nor’afiza Saim, Ketua Pegawai Eksekutif IIM.

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |