Kenyataan Media

SPRM Tahan 3 Individu, Terima 286 Maklumat, 22 Aduan Rasuah Sejak PKP Dikuatkuasa

SEPANJANG Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa bermula 18 Mac 2020 hingga 21 April 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima sebanyak 286 maklumat dan 22 aduan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.

Daripada jumlah tersebut, SPRM telah menahan tiga individu dalam dua kes berbeza berhubung perbuatan merasuah penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan.

Dalam kes pertama, dua warga Pakistan telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7,000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.

Manakala dalam kes kedua, seorang peniaga ditahan kerana dipercayai telah merasuah pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM500 di Kluang, Johor sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran.

Kedua-dua kes terbaharu ini menunjukkan aktiviti haram seperti penyeludupan terus berlaku selain terdapat premis perniagaan yang dibuka tanpa kebenaran walaupun dalam tempoh PKP berkuatkuasa. Perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti ini secara tidak langsung turut mendorong kepada perbuatan rasuah.

Dalam hal ini, SPRM merakamkan syabas dan tahniah kepada pihak berkuasa di barisan hadapan kerana ketegasan yang ditunjukkan terhadap penjenayah dan perasuah.

Ingin ditegaskan bahawa SPRM akan terus menjalankan siasatan walaupun dalam keadaan terbatas dengan berpandukan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan.

Demi kepentingan pihak terlibat, pejabat-pejabat SPRM di seluruh negara tetap dibuka dan terdapat pegawai ditugaskan secara bergilir-gilir dengan bilangan minima bagi mengambil tindakan terhadap maklumat yang diterima.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

22 APRIL 2020

Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |