Kenyataan Media

Persetujuan Dilepas Tanpa Dibebaskan Riza Aziz, Kerajaan Bakal Terima Semula Aset USD 107.3 Juta

Adalah dimaklumkan pihak pendakwaan telah memohon kepada mahkamah untuk dilepas tanpa dibebaskan terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz daripada beberapa pertuduhan yang dibuat pada 5 Julai 2019 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimaklumkan bahawa ia merupakan pelepasan bersyarat yang mana pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan iaitu dianggarkan berjumlah USD 107.3 juta (RM465.3 juta).

Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan-pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya.

Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

14 MEI 2020

Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |