Kenyataan Media

Kemajuan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023

SELARAS dengan keputusan Kerajaan, fungsi Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) secara rasmi kini telah diserapkan sepenuhnya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuatkuasa pada 18 April 2023 dan dikenali sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) (National Governance Planning Division – NGPD).

Sebanyak enam fungsi utama GIACC iaitu menasihati Kerajaan, menyelaras pelaksanaan inisiatif, menilai tahap keberkesanan, merancang strategi, memantau dan melapor dapatan tindakan berkaitan governans, integriti dan antirasuah akan diteruskan di bawah SPRM bagi memastikan kesinambungan momentum pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan berkaitan governans, integriti dan antirasuah.

Sementara itu, Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (National Anti-Corruption Plan - NACP) yang sebelum ini dipantau pelaksanaannya oleh GIACC telah diambil alih oleh BPGN, SPRM. Pelan ini yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 merupakan iltizam yang ditunjukkan oleh negara selari dengan semangat yang terkandung dalam United Nations Convention against Corruption (UNCAC) yang mana Malaysia adalah salah sebuah negara anggota apabila menandatangani konvensyen ini pada 1 Disember 2003.

Artikel 5 konvensyen ini menetapkan bahawa sesebuah negara perlu mempunyai dasar dan strategi antirasuah yang didokumenkan. Sehubungan itu, NACP adalah bersifat merentas masa, “living document”, dan mengambil kira dasar dan keperluan semasa.

Setelah mengambil kira Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP yang diterbitkan pada tahun 2021 dan juga tindakan yang telah diambil oleh Ketua Agensi Peneraju ke atas inisiatif-inisiatif NACP, status pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 telah menunjukkan kemajuan, walaupun negara berdepan masalah pandemik Covid-19.

Sehingga 31 Disember 2022, daripada keseluruhan 111 inisiatif NACP yang dipantau, sebanyak 62 inisiatif telah selesai pelaksanaan, dan penyiapan adalah di peringkat pengeluaran output iaitu bersamaan dengan 55%. Ini menjadikan baki inisiatif yang kini dipantau adalah sebanyak 49 inisiatif.

Daripada 49 inisiatif yang masih dalam tindakan Ketua Agensi Peneraju, 39 inisiatif dijangka dapat menepati masa dan diselesaikan sebelum penghujung Disember 2023 bersamaan dengan 91% pencapaian secara keseluruhan pelaksanaan NACP. Manakala, 10 inisiatif didapati berkemungkinan melewati tahun 2023 disebabkan oleh kompleksiti pelaksanaan yang melibatkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan perundangan semasa serta pewujudan perundangan baharu.

Justeru, SPRM optimis dengan pelaksanaan NACP 2019-2023 serta komited untuk menyelesaikan baki inisiatif-inisiatif yang belum dilaksanakan. Komitmen Ketua Agensi Peneraju kepada inisiatif NACP 2019-2023 serta semua pihak dalam menjayakan usaha murni melalui pelaksanaan NACP merupakan suatu manifestasi terhadap kesungguhan menuju sebuah negara bebas rasuah yang memartabatkan integriti serta kebertanggungjawaban berpaksikan ekosistem governans yang baik.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA

9 MEI 2023


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |