Kenyataan Media

SPRM Nafi Tohmahan Membabitkan Dua Pegawai Kanan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya tohmahan yang dibuat oleh sebuah blog identiti palsu kononnya dua pegawai kanan Suruhanjaya ini merupakan dalang dalam isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan syarikat-syarikat korporat.

Kedua-dua pegawai SPRM tersebut telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan mereka seterusnya membuat laporan polis untuk menyangkal tohmahan tersebut.

Sehubungan itu, SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan kepada pegawai SPRM bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap Suruhanjaya ini.

Namun begitu, sekiranya wujudnya bukti, pihak berkaitan harus tampil membuat aduan atau laporan kepada pihak penguat kuasa dan bukan membuat tohmahan menerusi media sosial yang berselindung di sebalik identiti palsu.

Ditegaskan bahawa SPRM tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta. Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

Seterusnya, mengikut prinsip pengasingan kuasa, Pejabat Peguam Negara berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan hanya kes-kes yang mempunyai bukti dan fakta kukuh diberikan izin untuk mendakwa mengikut budi bicaranya.

Dalam pada itu juga, SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan oleh mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

28 MAC 2023


Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |