Kenyataan Media

SPRM Jejak Hasil Wang Haram Sindiket Penipuan Antarabangsa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang giat menjejak aset dan wang hasil daripada kegiatan haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang telah berjaya dilumpuhkan dalam satu operasi besar-besaran digelar Op Tropicana pada Februari lalu.

Usaha menjejak aset dan wang haram yang dipercayai berjumlah jutaan ringgit ini dijalankan dengan kolaborasi Bank Negara Malaysia (BNM) dan badan-badan penguat kuasa antarabangsa termasuk Interpol, National Crime Agency (NCA – United Kingdom) dan Federal Bureau of Investigation (FBI).

 

Usaha ini juga merupakan tindakan susulan setelah empat dalang utama sindiket ini yang terdiri daripada warga asing telah berjaya didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac 2023 dan di Mahkamah Butterworth pada 17 Mac 2023 iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan.

 

Keempat-empat warga negara United Kingdom tersebut telah dijatuhi hukuman penjara dan didenda selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

 

Berhubung dakwaan bahawa lima bank utama sedang dipantau oleh SPRM berkaitan penglibatan dalam sindiket penipuan tersebut, siasatan berkenaan lebih tertumpu kepada individu-individu terlibat dan bukan melibatkan institusi kewangan tersebut secara khusus.

 

Mereka ini merupakan segelintir golongan profesional (professional enabler) termasuk pegawai-pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram tersebut beroperasi.

 

Sehubungan itu, SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan BNM dan agensi penguat kuasa lain untuk memerangi sindiket penipuan antarabangsa ini.

 


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

 PUTRAJAYA

 

18 MAC 2023


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |