Kenyataan Media

SPRM Siasat Isu Tuntutan Palsu Dan Penyelewengan Insentif Program Penjana Kerjaya

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) di beberapa negeri seluruh negara.

Operasi besar-besaran berkenaan dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM bersama-sama SPRM Negeri dan telah dijalankan secara serentak bermula hari ini.

Untuk makluman, Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.

Program ini dilaksanakan oleh PERKESO bagi tujuan merangsang ekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.

Bagaimanapun, SPRM dengan kerjasama PERKESO telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana dan mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.

SPRM memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuatkuasa.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
13 JULAI 2022


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |