Kenyataan Media

Datuk Seri Norazlan Dilantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM yang Baharu

Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang bersara wajib.

Beliau yang merupakan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Pengarah SPRM Selangor, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Ketua Staf Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Unit Integriti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengarah SPRM Johor.

Datuk Seri Norazlan, 57, berkelulusan Bachelor of Science in Business Control System, pengkhususan dalam bidang Perakaunan daripada University of North Texas, Amerika Syarikat dan Master of Science in Economic Crime Management (Kepujian) daripada HELP University, Malaysia.

Beliau mula menyertai SPRM pada 9 Februari 1989 dan sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau berpengalaman luas serta banyak terlibat dalam pelbagai inisiatif pencegahan rasuah di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Dato' Hishamuddin Hashim pula dilantik sebagai Pengarah Kanan Siasatan SPRM yang baharu berkuat kuasa pada tarikh sama manakala Ketua Unit Integriti, Kementerian Pengangkutan, Dato' Tan Kang Sai menggantikan jawatan Dato' Hishamuddin.

Dalam pada itu, SPRM telah menganjurkan Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Dato’ Sri Shamshun Baharin di Ibu Pejabat SPRM semalam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

Dato’ Sri Shamshun Baharin bersara wajib sebagai penjawat awam pada usia 60 tahun selepas berkhidmat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM selama 37 tahun sejak tahun 1984.

Beliau memulakan karier di BPR/SPRM sebagai pegawai penyiasat dan telah memegang pelbagai jawatan penting sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Antaranya, Ketua Cawangan Pendaftaran Rahsia, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Pengarah Bahagian Keutuhan Pengurusan, Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat, Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM pada 4 Oktober 2016.

Sehubungan itu, SPRM merakamkan ucapan terima kasih atas usaha dan sumbangan bakti Dato’ Sri Shamshun Baharin sepanjang dalam perkhidmatan di BPR/SPRM bagi membanteras rasuah di negara ini.

Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga SPRM turut mengucapkan tahniah atas pelantikan pucuk pimpinan baharu ini sekali gus menjadikan SPRM terus cemerlang.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

2 SEPTEMBER 2021


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |